Johor Perkasa Pendidikan Teknologi, Lahir Generasi Inovatif dan Berdaya Saing

JOHOR BAHRU, 4 Mei – Kerajaan Negeri Johor terus memperkukuh agenda pembangunan modal insan berteraskan ilmu apabila memberi sokongan kepada inisiatif pendidikan robotik dan inovasi teknologi yang dilihat sebagai pemangkin kepada masa depan negeri yang lebih progresif dan berdaya saing.

Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, usaha melahirkan generasi celik teknologi perlu digerakkan secara berterusan, termasuk melalui kerjasama dengan institusi tempatan seperti Zenius Tech yang aktif mencungkil bakat anak muda dalam bidang robotik.

Menurut beliau, Zenius Tech kini muncul sebagai antara pusat latihan robotik terbesar di Johor dengan 36 cawangan, melibatkan lebih 1,600 pelajar aktif serta berjaya menghimpunkan kira-kira 2,800 peserta menerusi program National Robotics League (NRL).

“Angka ini jelas membuktikan bahawa minat dan potensi anak muda Johor dalam bidang teknologi semakin berkembang dan perlu terus disokong secara berstruktur,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyantuni warga Zenius Tech di Kulai, selain menyampaikan sumbangan daripada Pejabat Menteri Besar Johor sebagai tanda sokongan terhadap kelangsungan program pendidikan robotik yang dijalankan.

Tambah beliau, pelaburan dalam pendidikan teknikal dan kemahiran masa hadapan merupakan asas penting dalam membina ekosistem bakat yang mampu mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0.

“Kita mahu melihat lebih ramai anak Johor bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi pencipta kepada solusi masa depan. Inilah asas kepada Johor yang lebih progresif, berdaya saing dan berteraskan ilmu,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa usaha berkenaan selaras dengan aspirasi Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan sebagai teras kemajuan negeri.

Menurutnya, di bawah kepimpinan tersebut, Johor bukan sahaja mencatat pencapaian ekonomi yang memberangsangkan, malah memastikan setiap pertumbuhan diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat, khususnya dalam aspek pendidikan, kemahiran dan peluang masa depan generasi muda.

Kerajaan Negeri, katanya, akan terus komited memastikan tiada anak muda yang tercicir daripada peluang mendapatkan pendedahan kepada bidang sains, teknologi dan inovasi.

“Melalui sinergi antara kepimpinan negeri dan penggerak pendidikan seperti Zenius Tech, kita yakin lebih banyak ruang dapat dibuka untuk generasi muda mengasah bakat serta membina keyakinan diri dalam bidang berimpak tinggi ini,” ujarnya.

Beliau menambah, usaha berterusan ini diharap mampu menjadi langkah signifikan ke arah membina Johor yang lebih maju, inklusif dan berdaya tahan, selaras dengan aspirasi menjadikan negeri itu sebagai hab bakat dan inovasi masa depan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO