Ahmad Zahid Seru Ahli UMNO Perkukuh Komunikasi Digital

KUALA LUMPUR, 3 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru ahli UMNO supaya mengaplikasikan pendekatan komunikasi digital yang lebih berkesan dan bersesuaian dengan perkembangan semasa.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, keberkesanan penyampaian mesej parti perlu ditingkatkan dengan menyesuaikan diri terhadap perubahan landskap komunikasi yang kini banyak dipengaruhi oleh viraliti di platform digital.

“Sekiranya cara kita tidak berkesan maka perlu ubah yang disebut sebagai viraliti… selalunya kalau dapat isu yang panas baru kita kongsi, tapi yang positif tidak dikongsi.

“Seperti yang sering saya sebutkan, medan komunikasi hari ini telah banyak berubah. Media digital kini menjadi ruang utama rakyat mendapatkan maklumat dan membentuk pandangan. Justeru, pendekatan komunikasi juga perlu bergerak seiring dengan realiti semasa,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada program UMNO ke-80: Politik Era Baharu (Digital) yang dilaksana di sini, malam tadi.

Turut hadir Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said; Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Suraya Yaacob dan ketua-ketua penerangan negeri dan ketua penerangan bahagian seluruh negara.

Mengulas lanjut kata beliau, jentera parti perlu memahami sasaran audien dengan lebih tepat serta menyesuaikan pendekatan komunikasi mengikut kumpulan sasaran.

“Jika kita sendiri tidak jelas dengan pendekatan yang mahu digunakan, sukar untuk kita melaksanakan strategi yang benar-benar berkesan.

“Justeru, kita perlu berani menilai semula perancangan sedia ada dan memperkenalkan pendekatan baharu yang lebih sesuai dengan perubahan teknologi,” ujar beliau.

Dalam masa sama, beliau berharap pemukiman yang diadakan mampu menjadi platform terbaik untuk memperkukuh kefahaman serta menyatukan gerak kerja semua pihak.

“Saya berharap pemukiman ini menjadi ruang untuk memperkukuh kefahaman dan menyatukan gerak kerja dalam membina kekuatan bersama ke hadapan,” katanya lagi.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO