Konvensyen 80 Tahun UMNO Perkukuh Perpaduan Dan Hala Tuju Parti

KUALA LUMPUR, 3 Mei – Konvensyen 80 Tahun UMNO yang berlangsung semalam melabuhkan tirainya dengan pelbagai pengisian yang menghimpunkan kepimpinan serta ahli parti dari seluruh negara.

Seawal jam 8 pagi, lokasi konvensyen dibanjiri lautan merah apabila para perwakilan dan penyokong hadir bagi memeriahkan program bersejarah tersebut sempena ulang tahun ke-80 parti yang bakal disambut pada 11 Mei ini.

Sepanjang konvensyen, pelbagai pengisian telah berlangsung termasuk sesi perbahasan dan perkongsian pandangan daripada kepimpinan negeri yang membawa suara akar umbi.

Antara isu yang diketengahkan merangkumi cabaran ekonomi rakyat, peningkatan kos sara hidup, pembangunan setempat serta usaha memperkukuh jentera parti di semua peringkat.

Acara kemuncak menyaksikan sesi penggulungan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, beliau ketika ucapannya menekankan kepentingan memperkukuh perpaduan dalam kalangan ahli parti.

Beliau menegaskan keperluan seluruh kepimpinan dan akar umbi untuk terus bergerak sebagai satu pasukan yang bersatu, selain menjadikan pengalaman lalu sebagai iktibar dalam memperkukuh hala tuju parti pada masa hadapan.

Ahmad Zahid juga yakin UMNO mampu terus mengharungi cabaran mendatang dan kembali mencapai kegemilangan, berkat dokongan serta kejituan semangat seluruh ahli parti.

Dalam pada itu rata-rata daripada pengunjung yang ditemui juga meluahkan keterujaan mereka kerana berpeluang menyertai konvensyen bersejarah tersebut yang menghimpunkan kepimpinan dan ahli parti dari seluruh negara.

Sementara itu, sambutan ulang tahun UMNO ini juga turut dimeriahkan dengan Karnival 60 Tahun MARA; Sambutan Ulang Tahun ke-60 FELCRA dan pameran sempena 70 tahun FELDA yang diadakan bermula 1 hingga 5 Mei ini.

Penganjuran karnival bersempena ulang tahun agensi-agensi berkenaan di dalam Konvensyen 80 Tahun UMNO dilihat sebagai simbolik kepada kesinambungan peranan institusi tersebut dalam agenda pembangunan negara yang telah berlangsung sejak beberapa dekad lalu. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO