Arus Sokongan Anak Muda Sedang Kembali Kepada UMNO – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 3 Mei – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memaklumkan bahawa arus sokongan muda anak muda kini sedang kembali kepada parti keramat UMNO.

Ini kerana katanya, lebih 14,000 ahli baharu yang majoritinya dari anak muda telah menyertai UMNO selepas sistem permohonan keahlian secara atas talian dibuka baru-baru ini.

“Realiti hari ini jelas. Arus sokongan anak muda sedang kembali kepada UMNO. Sehingga kini lebih 14,000 ahli baharu telah menyertai UMNO secara ‘online’. Lebih membanggakan, Pahang berada dikedudukan ke-2 tertinggi dengan 1,564 keahlian baharu.

“Ini bukan angka kosong. Ini adalah isyarat kuat bahawa generasi muda sedang membuat pilihan, dan ia adalah UMNO. Mereka memilih bukan secara kebetulan, tetapi kerana UMNO memiliki akar sejarah, rekod jasa bakti dan pengalaman mentadbir yang telah terbukti membawa manfaat kepada rakyat.

“Kita juga menyaksikan bagaimana munculnya parti-parti yang cuba meniru UMNO. Warna hampir sama, struktur hampir serupa, malah cuba menarik ahli UMNO untuk berpindah. Kononnya mahu menggantikan UMNO. Barang ori dan barang tiruan tak sama,” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan Konvensyen 80 Tahun UMNO, di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.

Tegasnya, UMNO adalah sebuah organisasi yang hidup dengan disiplin dan tradisi.

“Namun hari ini, hakikat, rakyat melihat sendiri perjalanan parti-parti tersebut tanpa perlu kita menghuraikan panjang. Dari situ, timbul kesedaran bahawa UMNO bukan sekadar parti, tetapi institusi perjuangan yang tidak mudah diganti.

“UMNO bukan parti bermusim. UMNO adalah organisasi yang hidup dengan disiplin dan tradisi. Setiap tahun, kita adakan persidangan cawangan, bahagian dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) secara tersusun dari akar umbi hingga ke pucuk pimpinan.

“Inilah keunikan UMNO. Bukan sahaja kuat dari segi struktur, tetapi juga kaya dengan nilai dan budaya. Kita melihat lelaki tampil segak berbaju Melayu bersampin. Wanita dan Puteri anggun berbaju kurung merah dan pink, melambangkan kesatuan, identiti dan maruah perjuangan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan bahawa perkara tersebut merupakan salah satu tanda kebangkitan semula UMNO.

“Justeru, saya merakamkan penghargaan kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) atas keberanian melakukan pembaharuan, termasuk membenarkan mesyuarat sayap dilaksanakan secara ‘hybrid’ yang menggabungkan tradisi dan teknologi.

“Inilah tanda kebangkitan sebenar UMNO. Sokongan yang datang bukan kerana paksaan, tetapi kerana keyakinan. Rakyat, khususnya anak muda, datang secara organik hasil pemerhatian, perbandingan dan penilaian mereka sendiri.

“Saya yakin, jika momentum ini kita kekalkan … jika kita terus istiqamah memperjuangkan rakyat dengan ikhlas dan berprinsip, UMNO bukan sahaja akan kekal relevan, tetapi bakal kembali memimpin masa depan negara dengan lebih kuat dan bermaruah,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO