80 Tahun Perjuangan: Ahmad Zahid Yakin UMNO Mampu Melayari Bahtera Perjuangan

KUALA LUMPUR, 2 Mei — Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin UMNO mampu terus mengharungi cabaran mendatang dan kembali mencapai kegemilangan, berkat dokongan serta kejituan semangat seluruh ahli parti.

Beliau berkata perjalanan panjang UMNO sejak penubuhannya memperlihatkan ketahanan luar biasa dalam mendepani kitaran krisis yang berulang setiap dekad, termasuk kehilangan majoriti pada 2008 dan kekalahan besar dalam Pilihan Raya Umum 2018.

Menurutnya, di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak, pelbagai langkah penyusunan semula termasuk anjakan ekonomi telah dilaksanakan, namun parti itu terus diuji dengan pelbagai cabaran yang membentuk kekuatan dalaman UMNO.

“UMNO tidak pernah mati walaupun ada yang mahu melihatnya terkubur. Setiap krisis yang dilalui telah membentuk ketahanan parti untuk terus kekal relevan sebagai pendinding umat Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan Konvensyen 80 Tahun UMNO, di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, petang tadi.

Mengimbas sejarah, beliau berkata penubuhan UMNO pada 1946 berjaya menyatukan 41 pertubuhan Melayu sebagai asas kepada perjuangan kemerdekaan, sebelum parti itu memainkan peranan penting memulihkan kestabilan negara pasca krisis perkauman.

Katanya, di bawah kepimpinan Tun Abdul Razak, negara melalui anjakan besar dengan pembentukan Barisan Nasional (BN) serta pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menjadi asas pembangunan negara.

Beliau berkata setiap krisis yang dilalui, termasuk peristiwa 1987 dan cabaran 1998, telah melahirkan anjakan baharu yang memperkukuh parti, termasuk di bawah kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menekankan nilai Islam dalam pentadbiran.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid menegaskan bahawa UMNO kini perlu berganjak daripada sekadar mengharungi krisis kepada mencipta anjakan baharu demi masa depan parti dan negara.

Beliau menggariskan tiga agenda utama sebagai kerangka strategik iaitu Agenda Rumah Bangsa, Agenda Musyawarah Nasional dan Grand Collaboration.

Menurutnya, agenda Rumah Bangsa bertujuan mengembalikan UMNO kepada asas sebagai wadah penyatuan Melayu dengan membuka ruang seluas-luasnya kepada semua pihak untuk kembali bersama tanpa mengungkit perpecahan lalu.

“Rumah ini adalah rumah perjuangan yang menggarap pemikiran bersama, mencorak kestabilan negara dan menghimpunkan kembali kekuatan bangsa,” katanya.

Mengulas agenda Musyawarah Nasional, beliau berkata inisiatif itu penting bagi membentuk semula jati diri Melayu-Islam yang semakin terhakis, dengan menghimpunkan cendekiawan, agamawan, teknokrat, golongan profesional dan generasi muda.

Selain itu, katanya konsep Grand Collaboration menuntut perubahan pendekatan politik daripada permusuhan kepada kerjasama, selaras dengan realiti semasa yang memerlukan gabungan politik lebih matang dan dinamik.

“Kerjasama bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan dalam dunia politik yang semakin kompleks,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata UMNO perlu memandang jauh ke hadapan dengan mempersiapkan parti menjelang ulang tahun ke-100, bukan sekadar untuk memenangi pilihan raya tetapi melahirkan generasi pewaris bangsa yang berkualiti.

Katanya, dalam tempoh dua dekad akan datang, UMNO perlu memperkasa dakwah, menjadi teras kestabilan politik, melahirkan bakat kepimpinan, menyatukan pemikiran bangsa Melayu serta menyuburkan budaya ilmu.

“UMNO hari ini masih bertahan kerana kekuatan akar umbi. Kita mesti berani mengakui kesilapan, memperbaiki kelemahan dan mencipta perubahan demi memastikan perjuangan ini terus subur,” katanya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO