Gagasan Rumah Bangsa Perlu Dimanfaat, Tampilkan UMNO Sebagai Institusi Penting
KUALA LUMPUR, 2 Mei – Gagasan Rumah Bangsa perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk menampilkan UMNO sebagai institusi penting orang Melayu, kata Pengerusi Jawatankuasa Rumah Bangsa, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, gagasan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu merupakan hadiah besar kepada parti untuk menyambut ulang tahun ke-80 pada tahun ini.

“Selaku Pengerusi Rumah Bangsa, di kesempatan kita menyambut Konvensyen 80 tahun UMNO pada hari ini, saya ingin nyatakan bahawa tiada hadiah yang lebih besar untuk UMNO menyambut ulang tahun ke-80 selain dari gagasan idea besar Presiden bahawa UMNO itu harus menjadi sebuah ‘rumah bangsa’.
“Gagasan ini mempunyai matlamat dan hasrat yang bukan sahaja sangat penting tetapi juga amat murni. Kita harus faham, Rumah Bangsa lebih jauh dan mendalam matlamatnya daripada hanya membuka ruang bagi mereka yang telah meninggalkan UMNO untuk kembali ke pangkuan parti.
“Mungkin cita-cita beliau adalah untuk menjadikan UMNO ini sebuah wadah, medan dan arena paling terpadu untuk menyumbang berbakti serta mencari keteduhan bagi bangsa Melayu. Saya percaya Rumah Bangsa adalah konsep untuk membuka UMNO dengan seluas-luasnya kepada sesiapa sahaja yang namanya Melayu bagi melakukan sesuatu yang bermanfaat untuk bangsa,” katanya.
Ujarnya, gagasan Rumah Bangsa boleh menjadikan UMNO sebagai wadah memusatkan politik Melayu.
“Rumah Bangsa adalah idea jika diperluaskan konsepnya dapat menonjolkan UMNO itu lebih besar daripada hanya sebuah parti politik. Ia boleh menjadikan UMNO melalui rumah bangsanya sebagai wadah memusatkan politik Melayu. Menjadi nadi dan pemandu politik Melayu. Menjadi penggerak utama, pemain terpenting dan titik tumpuan segala kepentingan Melayu.
“Sebagai sebuah pusat politik Melayu, UMNO boleh bertindak sebagai pencetus segala perubahan politik demi kebaikan bangsa Melayu. Bersuara sebagai satu suara bangsa Melayu. Ia juga akan menjadi arena terpenting untuk sesiapa sahaja berbincang, mengusul dan mencari pencerahan untuk segala kemaslahatan bangsa Melayu dan watan.
“Justeru, gagasan Rumah Bangsa harus kita manfaatkan untuk menampilkan imaginasi lebih unggul bagi UMNO sebagai institusi terpenting bangsa Melayu. Kita harus gunakan gagasan ini untuk memberitahu orang Melayu, UMNO ini adalah pemangkin terpenting yang telah dan akan menaungi bangsa dalam apa keadaan sekalipun,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru semua pihak untuk menggunakan aspirasi Rumah Bangsa agar memujuk dan menerima orang Melayu yang tidak berhasrat menjadi ahli, sebagai sahabat demi keperluan politik bangsa.
“Jadikan ia laluan untuk generasi muda, cendekiawan, golongan ikhtisas, pergerakan bukan kerajaan serta individu berpengaruh menyumbang kepada idea pencerahan bangsa melalui saluran politik … kerana kepada UMNO dan sifatnya sebagai Rumah Bangsa, menjadi ahli itu bukan syarat untuk mencintai dan memajukan kepentingan bangsa.
“… yang UMNO utamakan adalah sebuah keyakinan dan iltizam untuk menyumbang dan mencerah, asalkan ia terpusat melalui UMNO,” katanya lagi. – UMNO Online
