Wanita, Pemuda Dan Puteri UMNO Perkukuh Kepimpinan, Tegaskan Prinsip Kesatuan Parti

KUALA LUMPUR, 2 Mei – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menegaskan komitmennya untuk membawa hala tuju baharu dengan memperkasa kepimpinan wanita serta mengukuhkan peranan mereka dalam landskap politik semasa.

Menurutnya, tekad utama adalah untuk menjadikan Wanita UMNO sebagai teras kepimpinan yang mampu melahirkan lebih ramai pemimpin wanita berkualiti, selari dengan perkembangan semasa yang menyaksikan golongan wanita kini terdiri daripada barisan profesional dan pemikir.

“Atas tekad ini, Wanita UMNO berhasrat memperkukuh kepimpinan dengan memastikan lebih ramai wanita diberi peluang sebagai pemimpin. Pada masa yang sama, kita mengiktiraf bahawa ramai wanita hari ini terdiri daripada golongan profesional dan pemikir.

“Wanita UMNO juga bertekad untuk menawan demografi serta memastikan rakyat melihat UMNO sebagai parti yang sentiasa bersama mereka dalam apa jua keadaan. Kita mahu rakyat merasai kehadiran UMNO bukan sahaja ketika senang, malah ketika susah, di samping terus mempertahankan perpaduan parti serta kesetiaan kepada perjuangan walau berdepan apa jua cabaran.

“Selain itu, Wanita UMNO membawa tekad baharu dalam memperkukuh naratif digital dengan tampil sebagai barisan hadapan dalam penyampaian maklumat. Di samping melaksanakan tugas hakiki, usaha juga akan dipergiat untuk menguasai platform digital,” katanya ketika berucap pada Konvensyen UMNO 80 Tahun di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Beliau menegaskan bahawa tekad ini bukan sekadar retorik, sebaliknya disokong oleh pelbagai platform menerusi aktiviti dan forum yang dilaksanakan oleh Wanita UMNO. Ia bukan sekadar pentas untuk berucap dan bersorak, tetapi merupakan platform yang mendorong tindakan sebenar.

Bagi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan bahawa UMNO terus wujud kerana mempunyai prinsip yang tegas.

“UMNO bukan parti yang ikut angin, sebaliknya berpegang kepada prinsip. Kita boleh berkawan dengan sesiapa, boleh duduk semeja dengan sesiapa, tetapi jangan sesekali menguji garis merah perjuangan UMNO.”

Dalam hal ini beliau menjadikan contoh di Negeri Sembilan, apabila ada perkara yang menyentuh institusi adat, perlembagaan negeri dan kedaulatan Raja maka UMNO tidak akan tunduk atau berdiam diri.

“UMNO bangkit melawan walaupun terpaksa meninggalkan kerusi Exco kerana bagi UMNO, jawatan boleh hilang tetapi prinsip tidak boleh sekali-kali tergadai.

“Kita bukan gila jawatan, bukan mabuk kuasa, dan bukan parti yang sanggup menjual prinsip semata-mata untuk kekal selesa. UMNO berdiri dan menegaskan bahawa yang salah tetap salah. Inilah UMNO—walau berkawan dengan sesiapa sekalipun, apabila prinsip dilanggar dan maruah dicabar, garis merah tidak boleh disentuh, UMNO akan tegak melawan.

Inilah pendirian UMNO. Parti ini boleh kalah kerusi, hilang jawatan, serta ditekan oleh kawan dan lawan, namun UMNO tidak akan sesekali membiarkan prinsipnya tergadai. Inilah kekuatan parti keramat UMNO dan inilah maruahnya. Walaupun ada pihak yang mahu menjatuhkan dan mematikan UMNO, atas keteguhan prinsip, UMNO kekal hidup hingga kini dan akan terus bertahan selepas ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menjelaskan bahawa sejak penubuhannya, UMNO dibina atas asas kebersamaan dan kesatuan dalam kalangan ahlinya yang berkongsi matlamat serta hala tuju yang sama.

“UMNO adalah sebuah keluarga besar, yang tinggal di bawah satu bumbung perjuangan. Di awalnya setiap ahli duduk semeja, berkongsi rasa dan bergerak dengan satu tujuan yang sama bagi memastikan rumah ini terus berdiri kukuh walaupun hujan dan ribut datang melanda.

“Dalam parti ini setiap peranan mungkin berbeza, setiap tanggungjawab tidak sama, namun tujuannya tetap satu menjaga rumah ini agar terus berdiri kukuh, berpasak setia, berbumbungkan perjuangan dan tidak retak walau diasak ribut zaman,” ujarnya.

Ujarnya lagi, ia membawa kesepakatan serta harapan masa depan dan bukannya untuk bersaing, tetapi berganding bahu. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO