UMNO 80 Tahun: Sama-Sama Perkukuh Solidariti, Bangkit Demi Masa Depan – Ab Rauf

KUALA LUMPUR, 2 Mei — Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menegaskan warga parti merupakan penerus warisan yang perlu diteruskan kepada generasi akan datang.

Berucap pada Konvensyen 80 Tahun Perjuangan UMNO di Dewan Merdeka, WTC di sini, hari ini, beliau berkata Melaka sebagai lencana kegemilangan bangsa Melayu perlu dilihat semula sebagai peneraju semangat untuk meneruskan perjuangan pada masa depan.

“Kitalah orang-orang yang setia untuk membangun dan bangkit semula sebagai pejuang UMNO demi masa depan negara. Kita tidak lari walaupun ramai yang lari, tetapi kita kekal sebagai pejuang,” katanya.

Beliau berkata Melaka akan dijadikan medan perjuangan dan kebangkitan bagi memastikan semangat perjuangan UMNO tidak pernah padam, khususnya menjelang Pilihan Raya Umum Negeri yang dijangka berlangsung dalam tempoh kira-kira 150 hari lagi.

Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka turut merakamkan penghargaan kepada Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Majlis Kerja Tertinggi yang mengadakan mesyuarat di Melaka sebelum ini sebagai persiapan menghadapi pilihan raya.

Katanya, sejarah membuktikan Barisan Nasional memenangi 21 kerusi termasuk 18 kerusi UMNO, sekali gus membentuk majoriti tiga perempat Dewan Undangan Negeri bagi mentadbir Melaka.

“Datanglah dan bantulah kami kerana Melaka akan menjadi rujukan masa depan UMNO dan bangsa Melayu. Kita tidak mampu rebah sekali lagi, sebaliknya mesti bangkit dengan semangat perjuangan dan solidariti,” katanya.
Menyentuh pentadbiran negeri, beliau berkata kerajaan Melaka bergerak secara menyeluruh di setiap Dewan Undangan Negeri dengan portfolio Exco dilaksanakan secara aktif bagi menyelesaikan masalah rakyat dalam tempoh singkat.

Beliau berkata sebanyak 3,000 daripada 4,000 aduan rakyat berjaya diselesaikan, selain pelaksanaan program turun padang termasuk hari Exco bertemu rakyat yang membantu menyelesaikan pelbagai isu termasuk permohonan tanah yang tertangguh lama.

Dalam masa sama, beliau berkata Melaka turut menjadi perintis kepada pendekatan baharu melalui JR Digital bagi mendekati pengundi.

“Melaka kehadapan untuk mendepani pilihan raya. Kita dulu menggunakan JR untuk bergerak, untuk menyantuni pengundi-pengundi yang kita tahu di mana asal usulnya. Tetapi selepas kita mengizinkan pengundi 18 tahun mengundi secara automatik, kita tidak dapat lagi mengesan bakal-bakal pengundi yang bakal mengundi kita.

“Itulah sebab pilihan raya negeri kita menang semua, namun  pada pilihan raya raya umum kita tak menang satu pun kerusi parlimen. Pengiraan telah berubah dan hala tuju telah berubah. Melaka telah menjadi perintis dalam perwujudan JR Digital yang memberikan mandat pada wanita-wanita untuk berkarya dan berkempen melalui media sosial yang saya namakan JR Digital.

“Saya beritahu kepada Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini bahawa JR Digital ini adalah satu medium untuk kita dapat menggapai pengundi-pengundi muda. Alhamdulillah, sekarang ini kalau tengok media-media sosial pada adun-adun negeri Melaka telah mencapai taraf yang di luar jangka. Hasil daripada kreativiti JR Digital,” tambahnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO