Beri Kepercayaan Kepada Pucuk Pimpinan, UMNO Bakal Kembali Megah Di Persada Politik
KUALA LUMPUR, 2 Mei – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin menyeru seluruh ahli dan akar umbi untuk memberikan kepercayaan kepada para pemimpin bagi membolehkan parti kembali megah di persada politik tanah air.
Ujarnya, UMNO telah menempuh pelbagai dugaan termasuklah menerima ugutan agar parti ini dibubarkan.

“Dalam tempoh 80 tahun, terlalu banyak jasa yang telah UMNO berikan kepada rakyat di negara ini. Bukan hanya memerdekakan negara bahkan kita menyaksikan segala-galanya.
“2018 adalah satu tahun yang tidak mungkin kita lupakan dan lenyapkan dari pemikiran. Pada ketika itu kita berhimpun di dewan yang mulia ini untuk mengadakan Perhimpunan Agung UMNO sempena ulang tahun ke-72.
“UMNO cuba diharamkan, kita diugut untuk dibubarkan. Kalau perkara tersebut berlaku … hukum akal mengatakan kita tidak akan menyambut ulang tahun ke-80 pada tahun ini.
“Namun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memilih UMNO untuk terus kekal di bumi bertuah ini. Alhamdulilah hari ini kita menyambut ulang tahun UMNO ke-80 dan mudah-mudahan semoga Allah mengizinkan kita menyambut ulang tahun ke-100,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menzahirkan keyakinan bahawa UMNO akan kembali berada di peringkat tertinggi dalam persada politik tanah air pada masa akan datang.
“Kita akan berhadapan dengan pilihan raya dalam masa terdekat. Berilah kepercayaan untuk barisan pemimpin untuk mengemudi parti ini. Jika tidak ada kepercayaan, kita akan hilang keyakinan.
“Pepatah pernah berkata … apabila seorang pemimpin utama mendapat kekuatan melihat 1,000 pengikut di belakangnya, percayalah beliau akan memenangi pertempuran kecil. Tetapi jika 1,000 yang berada di belakang yakin akan pemimpinnya, Insya-Allah dunia akan dapat kita takluk.
“Saya percaya jika kita yakin, kita akan kembali berada di persada politik negara kita ini. Dengan izin Allah, UMNO akan kembali berada di peringkat tertinggi,” katanya lagi. – UMNO Online
