UMNO Telah Transformasi, Tingkatkan Taraf Hidup Orang Melayu – Mahdzir
KUALA LUMPUR, 2 Mei – Sepanjang 80 tahun penubuhan UMNO dan lebih 60 tahun memegang tampuk kepimpinan kerajaan, parti ini telah berjaya mentransformasi dan meningkatkan taraf hidup orang Melayu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, UMNO telah wujud 13 tahun sebelum merdeka bagi memastikan anak bangsa memperoleh kemerdekaan yang kita kecapi pada masa ini.

“80 tahun UMNO adalah satu jangka masa yang cukup panjang. Kita telah wujud 13 tahun sebelum menyambut kemerdekaan pada tahun 1957. Apakah agaknya yang dilakukan oleh pemimpin pada waktu itu di seluruh negara termasuklah kami di Kedah?
“Pada waktu itu, mereka berjuang untuk memerdekakan negara, kemudian disambung dengan pengisian kemerdekaan. Bangsa Melayu di seluruh negara terus dibangunkan sehingga datangnya tahun 1993 apabila Malaysia dibentuk.
“Sepanjang mengisi kemerdekaan itu, UMNO memimpin selama enam dekad sehingga 2018. UMNO telah mentransformasikan wajah Melayu dan bumiputera. Orang Melayu tidak akan berada di bandar sekiranya UMNO tidak mentransformasikan mereka sehingga ke hari ini,” katanya.
Ujarnya, UMNO telah mengalami kekurangan kepercayaan daripada rakyat dan perkara itu perlu ditangani sebaiknya bagi memastikan parti ini kembali relevan untuk semua peringkat umur.
“Pada hari ini kita berhadapan dengan kehilangan kepercayaan dalam kalangan rakyat. UMNO masih ada. UMNO masih kuat. Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga telah diserang bertubi-tubi seorang diri.
“Datuk Seri, percayalah, Pengerusi Perhubungan di sini termasuk saya dan rakan-rakan … kami semua bersama dalam perjuangan ini. Kami menyokong apa jua keputusan yang dibuat dan akan akur,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut menyeru seluruh ahli dan akar umbi untuk memberikan kepercayaan kepada para pemimpin parti dalam menentukan hala tuju UMNO selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
“Kita berhadapan dengan generasi baharu iaitu golongan muda. Ini memerlukan cara dan kaedah yang sesuai. Kita sudah menghampiri PRU ke-16.
“Apakah hala tuju UMNO pada pilihan raya akan datang? Adakah kita mahu bergerak secara solo atau sebaliknya? Semua ini kita perlu serahkan kepada kepimpinan parti untuk menentukan.
“Insya-Allah, kami di Kedah menghormati apa jua keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti. Kita taat dan memberi sokongan sepenuhnya kepada Presiden parti,” katanya lagi. – UMNO Online
