UMNO/BN Johor Tekad Terus Bangkit, Perkukuh Sokongan Demi Masa Depan
KUALA LUMPUR, 2 Mei – UMNO Johor menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh parti, memulihkan kepercayaan rakyat serta memastikan pentadbiran negeri kekal stabil dan berkesan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan bahawa mandat besar yang diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 merupakan peluang kedua yang amat berharga buat UMNO/Barisan Nasional (BN).
“Kami amat menghargai sokongan yang diberikan oleh rakyat dan bertekad untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab ini dengan sebaiknya.
“Kami juga menghargai pejuang-pejuang UMNO yang terus istiqamah dalam perjuangan untuk memulihkan parti yang kita cintai ini,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Johor berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen sempena ulang tahun ke-80 UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Menurut beliau, UMNO bukan sekadar parti politik, sebaliknya wadah yang lahir daripada kesedaran untuk mempertahankan bangsa dan negara sejak penubuhannya pada tahun 1946.
“UMNO lahir bukan kerana perebutan kuasa, tetapi kerana kesedaran bahawa masa depan bangsa mesti dipertahankan,” katanya.
Beliau turut mengimbas sumbangan besar parti itu, termasuk penubuhan FELDA, MARA dan PETRONAS yang memberi manfaat besar kepada rakyat.
Dalam masa yang sama, Onn Hafiz mengimbau dan mengakui kekalahan UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 sebagai detik paling mencabar dalam sejarah parti.
“Ia bukan sekadar kekalahan politik, tetapi kehilangan kepercayaan rakyat. Dan kepercayaan itu tidak boleh dituntut, ia mesti dibina semula,” katanya.
Menurut beliau, UMNO Johor memilih untuk bermuhasabah dan memperbaiki kelemahan tanpa menyalahkan mana-mana pihak.
“Ada ketikanya kita tersasar. Ada ketikanya kerakusan mengatasi keikhlasan. Inilah yang perlu kita perbaiki,” katanya lagi.
Dalam nada penuh keinsafan, beliau mewakili UMNO Johor memohon maaf kepada rakyat atas segala kelemahan lalu.
“Kami bukan maksum, jauh sekali sempurna. Saya mewakili UMNO Johor memohon maaf kepada seluruh rakyat atas segala kekurangan dan kekhilafan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa usaha memperkukuh parti kini digerakkan dari peringkat akar umbi termasuk cawangan dan Pusat Daerah Mengundi (PDM).
“Kekuatan kita bukan hanya di peringkat atasan, tetapi pada gerak kerja akar umbi,” jelasnya.
Onn Hafiz turut merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi atas bimbingan dan sokongan berterusan kepada Johor.
“Beliau bukan sahaja memberi nasihat, malah sentiasa bersama rakyat Johor ketika menghadapi cabaran,” katanya.
Beliau juga menzahirkan penghargaan terhadap jasa Najib Razak dan menyatakan sokongan terhadap usaha mendapatkan keadilan buat bekas Perdana Menteri itu.
Dalam ucapannya, beliau turut menegaskan kepentingan kesatuan dalam kalangan ahli UMNO dan BN bagi memastikan parti terus relevan.
“Buang yang keruh, ambil yang jernih. Tinggalkan sengketa, kita bina semula kekuatan parti ini,” katanya.
Beliau juga menyatakan sokongan terhadap usaha penyatuan Melayu melalui gagasan yang diperjuangkan parti.
Tegasnya UMNO/BN Johor akan terus komited memimpin negeri dengan penuh tanggungjawab serta memastikan kebajikan rakyat terus terbela.
“Dengan keinsafan, kesatuan dan tekad, kita akan terus bangkit demi agama, bangsa dan tanah air,” katanya.
Beliau juga memaklumkan bahawa Johor hari ini telah mencatatkan pelbagai pencapaian yang membanggakan iaitu:
● merekodkan pelaburan tertinggi dalam sejarah negara;
● Mewujudkan lebih 80,000 peluang pekerjaan;
● Mencatat pertumbuhan KDNK 6.4 peratus, yang tertinggi di Malaysia;
● Pendapatan hasil negeri juga mencapai paras tertinggi melebihi RM2.6 bilion;
● Sektor pertanian Johor mencatat hasil jualan tertinggi dalam negara;
● Johor melakar sejarah sebagai negeri pertama yang diiktiraf sebagai Smart State; dan banyak lagi.
Konvensyen tersebut menghimpunkan kepimpinan serta ahli UMNO dari seluruh negara sempena sambutan ulang tahun ke-80 parti berkenaan. – UMNO Online
