Landskap Berubah, Fleksibiliti Adalah Senjata Hadapi Politik Moden – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 2 Mei – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berpandangan landskap politik semasa yang sentiasa berubah, menuntut parti bersifat lebih dinamik dan berstrategi bagi memastikan UMNO terus relevan.

Beliau berkata UMNO perlu sentiasa menyesuaikan pendekatan mengikut perubahan semasa politik, pengundi dan isu yang membentuk sentimen rakyat.

“Kita akan hadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, serta Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16, tidak lama lagi. Pilihan raya hari ini tidak lagi statik… landskap berubah, pengundi berubah, isu berubah jadi strategi kita juga mesti berubah.

“Strategi pilihan raya UMNO bukan ditentukan hari ini. Strategi kita ditentukan berdasarkan realiti semasa, apabila tiba masanya. Ini bukan kelemahan, Ini kekuatan. Kita tidak terikat dengan formula lama, kita akan membaca sentimen rakyat, menilai kekuatan lawan, menyesuaikan pendekatan.

“Dalam politik moden, fleksibiliti adalah senjata. Matlamat kita satu, mengembalikan UMNO sebagai parti dominan. Kemenangan bukan datang dengan sendiri ia hasil disiplin, hasil strategi, hasil kesatuan. Kalau kita berpecah, kita kalah sebelum bertanding.

“Pilihan raya hari ini bukan sekadar ceramah ia adalah analisis pilihan raya hari ini bukan sekadar perang poster adalah perang data malah calon mesti berintegriti, boleh menang, dekat dengan rakyat,” katanya.

Mohamad berkata demikian pada Konvensyen 80 Tahun UMNO yang diadakan di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata UMNO tidak boleh terus terperangkap dalam naratif lama, sebaliknya perlu berani bergerak ke hadapan dengan menawarkan harapan dan hala tuju yang lebih segar serta meyakinkan kepada rakyat.

Katanya lagi, UMNO perlu memanfaatkan setiap ruang dan platform yang ada untuk mencetuskan idea baharu yang lebih tuntas demi memastikan kelangsungan parti untuk tempoh jangka panjang.

“Benar kita telah melalui satu katarsis politik yang besar menyaksikan kesusutan sokongan rakyat dalam beberapa pilihan raya yang lalu. Kemuncaknya pada tahun 2018 saat kita tewas dan tergelincir daripada kuasa saat paling getir dalam sejarah UMNO.

“Kita diberikan eulogi diberikan ucapan belasungkawa malah kita hampir “ditalkinkan” oleh lawan dan juga oleh sebahagian daripada kita sendiri. Tetapi UMNO terus berkelangsungan tidak terkubur. Malah segala gelora dan badai yang UMNO tepuhi itu, telah dilayari dengan tekad yang utuh untuk merawat dan memulihkannya.

“Justeru gunakanlah medan dan arena sebegini untuk mencari ilham, dan idea baru lagi tuntas, bagi kelangsungan UMNO untuk seabad mendatang… ya, masa depan adalah rahsia tuhan tetapi untuk sekadar duduk dengan leka dan bernostalgia, itu bukan cara untuk masa depan UMNO itu di rencana.

“Kerana itu saya sering mengingatkan berhenti jual sejarah mulakan jual masa hadapan kerana UMNO mesti menjadi parti yang kalis masa, insya-Allah. Orang Melayu inginkan keyakinan masa depan yang boleh UMNO tawarkan. Bukan rintihan emosi, tagihan simpati, balasan hutang budi atau tuntutan terima kasih,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO