Pemuda UMNO Perkasa Pendekatan Santai Tarik Minat Anak Muda
KUALA LUMPUR, 1 Mei – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia terus mengorak langkah mendekati generasi muda menerusi pendekatan santai apabila menganjurkan program sukan pickleball yang menghimpunkan barisan kepimpinan serta ahli-ahli muda parti.
Program tersebut menyaksikan penyertaan Exco Pemuda UMNO Malaysia, Ketua Pemuda UMNO Bahagian-bahagian, pimpinan cawangan serta ahli-ahli baharu dalam suasana santai, terbuka dan penuh semangat kebersamaan.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, kehadiran barisan kepimpinan tertinggi parti menyerlahkan sokongan padu terhadap usaha mendekati golongan muda melalui pendekatan yang lebih segar.
“Kita dapat melihat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Naib Presiden, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaluddin turut hadir memeriahkan suasana santai ini.
“Pemuda UMNO tidak akan buat program ‘touch and go’. Kita akan pastikan program seperti ini diteruskan secara konsisten, disusuli pelbagai aktiviti yang sentiasa dekat dengan jiwa orang muda.
“Kita juga melihat keperluan untuk mengubah pendekatan seperti ceramah politik bukan lagi tarikan utama. Sebaliknya, program santai seperti ini lebih berkesan dalam mendekati mereka,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau berkata demikian pada program Meet and Greet Pemuda UMNO, Pickle Ball bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di The Hood, Dewan Tun Razak 1, WTCKL hari ini. Program ini diadakan bersempena smbutan ulang tahun UMNO ke-80 yang berlangsung bermula hari ini sehingga 5 Mei.
Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau menambah, pendekatan baharu ini membuktikan UMNO semakin terbuka terhadap kehendak generasi muda masa kini.
“Ini menunjukkan bahawa pendekatan UMNO sudah berubah dan menerima orang muda dengan lebih baik. Malah, kita mencatatkan seramai 8,008 ahli Pemuda UMNO baharu yang berdaftar secara dalam talian, satu petunjuk jelas bahawa penerimaan anak muda semakin meningkat,” ujarnya.
Tambah Ketua UMNO Bahagia Jasin lagi, keunikan program tersebut adalah ketiadaan protokol rasmi serta perbezaan gelaran, sekali gus mewujudkan ruang interaksi lebih dekat antara pimpinan dan akar umbi.
“Dalam program ini, semua boleh duduk bersama, berbincang dan bertukar pandangan tanpa jurang. Inilah yang kita mahukan hubungan lebih erat dan mesra antara pemimpin dan orang muda,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Biro Sukan Pemuda UMNO Malaysia atas kejayaan menganjurkan program tersebut.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Biro Sukan Bersama Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Mohd Nazifuddin Mohd Najib dan Datuk Mohd Saiful Mat Sapri yang telah menganjurkan program pickleball ini. Kehadiran ramai anak muda membuktikan program ini berjaya dan memberi impak positif,” katanya lagi.
Katanya, program seumpama ini adalah antara usaha berterusan Pemuda UMNO dalam membina semula keyakinan serta memperkukuh sokongan generasi muda terhadap parti, selari dengan aspirasi pembaharuan yang sedang digerakkan. – UMNO Online
