Wanita Aset Strategik Negara, Bukan ‘Perhiasan’ Untuk Mencantikkan Kuota
KUALA LUMPUR, 1 Mei – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyifatkan wanita bukan sekadar pelengkap syarat atau ‘perhiasan’ untuk mencantikkan statistik kuota sebaliknya sebagai aset strategik negara.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata wanita sepatutnya berada di barisan hadapan, duduk semeja dalam perundingan dasar dan memimpin arus perubahan politik negara.
“Hari ini, kecemerlangan wanita Malaysia terbukti dalam hampir setiap bidang, pencapaian ini tidak datang bergolek.
“Ia adalah hasil dasar yang dirancang teliti dan tekad kita yang tidak pernah luntur,” katanya.
Noraini berkata demikian pada Forum Voices of Her: Wanita dan Politik yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini, bersempena sambutan ulang tahun UMNO ke-80.

Mengulas lanjut kata beliau di universiti, wanita kini mendominasi kemasukan dengan lebih 60 peratus daripada jumlah pelajar, sekaligus membuktikan bahawa dalam persaingan ilmu, wanita bukan sekadar peserta tetapi sebagai pemimpin.
“Dalam sektor ekonomi pula, kadar penyertaan tenaga buruh wanita telah melonjak kepada 56.6 peratus, satu rekod tertinggi dalam sejarah negara. Kita kini berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran 60 peratus menjelang 2030, seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Pembangunan Wanita Nasional.
“Dari sudut kepimpinan, wanita kini menduduki 39.4 peratus jawatan pengurusan tertinggi di sektor awam. Manakala di syarikat tersenarai awam, perwakilan wanita dalam lembaga pengarah mencecah 34.6 peratus, melebihi sasaran 30 peratus yang ditetapkan oleh kerajaan,” ujar beliau.
Bagaimanapun kata beliau di sebalik deretan kejayaan korporat dan akademik ini, isu kelompangan yang tidak boleh dipandang sepi iaitu penglibatan wanita dalam politik Malaysia.
Menurut beliau ini kerana di Dewan Rakyat, wanita hanya mewakili sekitar 13.5 hingga 13.6 peratus Ahli Parlimen manakala Dewan Undangan Negeri (DUN) sekitar 12 peratus.
“Keadaan ini lebih membimbangkan jika kita buat perbandingan di peringkat global. Purata perwakilan wanita di parlimen seluruh dunia adalah sekitar 25 peratus, hampir dua kali ganda lebih tinggi berbanding negara kita.
“Apabila wanita tidak ada di meja pembuatan keputusan, kepentingan kita selalunya ditentukan oleh mereka yang tidak memahami realiti hidup seorang wanita.
“Justeru, saya menyarankan beberapa pendekatan struktur yang mesti kita berani laksanakan secara serius antaranya perubahan struktur pencalonan parti. Parti-parti politik mesti meletakkan penanda aras yang jelas untuk meletakkan calon wanita sebagai pembuat dasar, berserta mekanisme pemantauan yang telus,” katanya lagi. – UMNO Online
