UMNO 80 Tahun: Salleh Said Tekankan Strategi Baharu Hadapi PRU

KUALA LUMPUR, 1 Mei – Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menegaskan bahawa ulang tahun ke-80 UMNO perlu menjadi titik penting untuk parti itu menentukan arah baharu dalam menghadapi cabaran politik semasa.

Menurut beliau, walaupun UMNO mempunyai sejarah yang kukuh sejak penubuhannya, persoalan utama kini adalah sejauh mana parti itu mampu memberi impak dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“UMNO mempunyai asas yang kuat, tetapi cabaran hari ini ialah impak. Mampukah kita mempengaruhi keputusan PRU akan datang? Itu persoalan yang perlu dijawab dengan strategi yang tepat,” katanya.

Salleh berkata, dalam sistem pilihan raya first-past-the-post, kerjasama politik bukan lagi pilihan tetapi keperluan bagi mengelakkan pertembungan undi.

“Realiti politik hari ini menuntut kerjasama. UMNO perlu bergabung dengan pihak yang berkongsi matlamat bagi memaksimumkan peluang kemenangan,” jelas beliau.

Mengulas situasi di Sabah, beliau mencadangkan agar UMNO bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), memandangkan keserasian dalam memperjuangkan isu-isu negeri.

“Di Sabah, kerjasama dengan GRS adalah langkah strategik. Isu-isu tempatan kini lebih selari dengan platform tersebut, dan agihan kerusi yang tersusun akan menjadi kunci kemenangan,” katanya lagi.

Bagi Sarawak pula, beliau menyifatkan pendekatan lebih realistik perlu diambil dengan memberi sokongan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Di Sarawak, Barisan Nasional tidak terlibat. Justeru, sokongan penuh kepada GPS adalah pendekatan paling praktikal,” ujarnya.

Salleh turut menekankan bahawa pengundi kini lebih kritikal dan menilai berdasarkan isu seperti ketelusan, integriti serta keupayaan mengurus ekonomi dan kos sara hidup.

“Rakyat hari ini membuat penilaian berdasarkan isu, bukan semata-mata sentimen. Ini perlu difahami oleh semua pihak,” katanya.

Beliau dalam masa sama menyatakan keyakinan bahawa UMNO mampu terus bertahan sekiranya strategi dan kerjasama politik dilaksanakan dengan bijak.

“UMNO boleh terus kekal relevan, tetapi kejayaan bergantung kepada keputusan yang berasaskan data, kekuatan dan kelebihan sebenar,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi atas usaha memastikan kestabilan parti terus terpelihara.

“Selamat menyambut ulang tahun ke-80 UMNO. Penghargaan kepada kepimpinan yang terus mengutamakan kestabilan parti dalam menghadapi cabaran semasa,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO