Gelombang Baharu Keahlian UMNO, Pendaftaran Terus Dapat Sambutan
KUALA LUMPUR, 1 Mei – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, memaklumkan sambutan terhadap pendaftaran keahlian UMNO terus menunjukkan peningkatan apabila orang ramai hadir seawal jam 8.00 pagi di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) untuk menyertai parti tersebut.
Beliau berkata, minat terhadap keahlian UMNO didorong oleh keyakinan masyarakat terhadap rekod perjuangan parti itu yang telah lama bertapak dalam landskap politik negara.

“Seawal pukul 8.00 pagi orang ramai telah mula membanjiri WTC bagi bersama-sama mendaftar keahlian dan beratur di kaunter pendaftaran biarpun ia dibuka pukul 10.00 pagi. Mereka memilih UMNO kerana merasakan parti ini mempunyai rekod yang panjang dan kukuh,” katanya ketika ditemua bersempena sambutan ulang tahun UMNO, hari ini.
Menurut beliau, terdapat juga dalam kalangan ahli baharu yang terpengaruh dengan latar belakang keluarga yang sebelum ini merupakan penyokong setia UMNO.
“Mereka tahu ibu bapa mereka dahulu pun orang kuat UMNO, dan hari ini mereka sendiri terpanggil untuk bersama-sama menyertai parti ini,” jelasnya.
Tambah beliau, perkembangan semasa turut mendorong orang ramai untuk mencari sebuah parti yang diyakini mampu membela nasib rakyat.
“Melihat kepada situasi hari ini, mereka merasakan perlunya ada sebuah parti yang boleh membela nasib rakyat, dan UMNO mempunyai pengalaman panjang dalam pentadbiran negara,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa proses pendaftaran keahlian kini dipermudahkan bagi menarik lebih ramai penyertaan.
“Kita mudahkan proses pendaftaran, dan menjadi ahli sangat mudah. Kita mengalu-alukan semua untuk hadir dan menyertai UMNO,” ujarnya.
Sambutan menggalakkan terhadap keahlian ini dilihat sebagai petanda positif terhadap usaha memperkukuh parti melalui penyertaan ahli-ahli baharu.
Hari UMNO ke-80 dirai bermula dari hari ini hingga 5 Mei WTCKL dengan program utama ialah Kongres Pendidikan Bumiputera 2026, Konvensyen 80 Tahun UMNO, pameran pendidikan serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), forum akademik dan wacana semasa.
Sambutan turut melibatkan penganjuran pelbagai aktiviti oleh sayap UMNO, iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri serta program yang memfokuskan kepada penyertaan usahawan dan golongan muda. – UMNO Online
