Bina Momentum Berterusan, Perkukuh Kekuatan UMNO – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 1 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap parti keramat ini terus membina momentum secara konsisten dalam usaha memperkukuhkan kekuatan serta sokongan rakyat terhadap perjuangan parti.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, kesinambungan gerak kerja dan pengukuhan organisasi di semua peringkat amat penting bagi memastikan UMNO kekal relevan serta berdaya saing dalam landskap politik semasa.

“Alhamdulillah, mudah-mudahan sempena ulang tahun UMNO ke-81 dan seterusnya, kita dapat mewujudkan momentum secara berperingkat. Dalam tempoh 20 tahun akan datang, insya-Allah kita akan menyambut ulang tahun ke-100 UMNO.

“Justeru, dalam tempoh ini, siapa pun yang menjadi Presiden UMNO selepas saya, ia adalah satu mandat untuk meneruskan program-program yang ada supaya apabila tiba ulang tahun UMNO ke-100, kita akan meraikannya dengan kemuncak yang lebih bermakna,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian pada Pertandingan Nasyid Wanita Kebangsaan 2026 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Penolong Setiausaha Wanita UMNO Malaysia Datuk Rosni Sohar; Bendahari Wanita UMNO Malaysia, Datuk Maizatul Akmam Alawi serta kepimpinan lain.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut sama menyambut baik permohonan keahlian baharu parti dalam kalangan generasi muda yang disifatkan sebagai satu petanda positif kepada masa depan UMNO.

Katanya, kemasukan golongan muda ini menunjukkan wujudnya gelombang sokongan baharu yang perlu terus diperkukuhkan oleh seluruh sayap parti.

“Ketika masuk tadi saya melihat ramai permohonan baharu untuk menjadi ahli UMNO dalam kalangan generasi muda. Ini adalah satu fenomena dan gelombang yang harus kita teruskan.

“Insya-Allah, menjelang Pilihan Raya Umum ke-16, hasil usaha Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri rakyat akan kembali menyokong kita,” ujar beliau.

Beliau seterusnya berbesar hati menyampaikan hadiah kepada johan Pertandingan Nasyid Wanita Kebangsaan 2026 yang dimenangi oleh wakil nasyid wanita daripada Pahang, mereka membawa pulang piala iringan dan wang tunai RM30,000.

Manakala naib johan dimenangi kumpulan daripada Johor dan ketiga, milik Wilayah Persekutuan. Masing-masing membawa pulang piala iringan dan wang tunai RM20,000 dan RM10,000. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO