Kerjasama Wanita Dan Penerangan UMNO Perkasa Penguasaan Digital – Noraini
KUALA LUMPUR, 1 Mei — Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, menegaskan bahawa kerjasama antara Wanita UMNO dan Penerangan UMNO Malaysia merupakan pemangkin penting dalam usaha memperkasakan lagi Wanita UMNO menerusi teknologi digital bagi menghadapi cabaran politik semasa.
Beliau berkata, kekuatan Wanita UMNO perlu terus diperkukuh dengan gabungan nilai kemanusiaan dan penguasaan teknologi selaras dengan perubahan landskap politik masa kini.
“Wanita UMNO sejak dahulu bukan sekadar berperanan ketika pilihan raya atau kempen semata-mata, sebaliknya menjadi jentera yang sentiasa dekat dengan rakyat serta mempunyai keupayaan membina hubungan yang kukuh di peringkat akar umbi.
“Wanita UMNO ini begitu dekat dengan rakyat. Kita bukan hanya digerakkan ketika pilihan raya atau kempen, tetapi kita sentiasa menjadi penghubung kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Executive Certificate in Digital Communications Leadership serta sesi JR Digital Wanita UMNO Malaysia, di sini, malam tadi.
Noraini seterusnya menambah pendekatan tradisional seperti ziarah, ceramah dan pertemuan fizikal sahaja tidak lagi mencukupi dalam menilai sokongan rakyat pada masa kini memandangkan dunia telah berubah.
Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan untuk menggabungkan dua kekuatan utama iaitu ‘hardware’ dan ‘software’ dalam memperkasakan peranan wanita dalam parti.
Jelasnya, ‘hardware’ merujuk kepada kekuatan dalaman seperti keikhlasan, empati, kesabaran dan kemampuan untuk mendengar serta mendekati rakyat dengan penuh kasih sayang, manakala ‘software’ pula melibatkan penguasaan teknologi termasuk data, media digital, sistem komunikasi serta kecerdasan buatan (AI).
Tambah beliau lagi, perkembangan teknologi yang pesat ketika ini, menuntut Wanita UMNO untuk lebih bersedia dan berpengetahuan agar tidak ketinggalan dalam arus perubahan.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa penguasaan teknologi dan sistem digital perlu digunakan secara beretika serta berdisiplin, bukan untuk menyebarkan fitnah, sebaliknya sebagai medium memperkukuh ilmu dan perjuangan parti.- UMNO Online
