UMNO 80 Tahun: MUBARAK Terus Komited Sumbang Khidmat Demi Perjuangan
KUALA LUMPUR, 30 April – Sambutan ulang tahun ke-80 UMNO terus mencerminkan perjalanan panjang perjuangan politik yang menjadi sebahagian landskap penting negara sejak sebelum merdeka.
Dalam suasana memperingati lapan dekad penubuhan UMNO, Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) turut menzahirkan komitmen berterusan untuk menyumbang kepada pembangunan negara melalui perkongsian pengalaman dan kepimpinan berasaskan khidmat bakti.
Presiden MUBARAK, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman, menegaskan bahawa peranan bekas wakil rakyat tidak terhenti selepas tamat tempoh perkhidmatan, sebaliknya terus relevan dalam membantu memperkukuh perpaduan serta memberi pandangan bernas kepada generasi pemimpin baharu.

Beliau berkata, pengalaman panjang yang dimiliki oleh para veteran politik merupakan aset penting dalam memastikan kesinambungan pentadbiran yang stabil dan berwibawa.
“UMNO telah melalui pelbagai fasa sejarah negara, dan kekuatan utamanya ialah keupayaan untuk terus belajar, menyesuaikan diri serta kekal dekat dengan denyut nadi rakyat. MUBARAK akan terus memainkan peranan sebagai jambatan pengalaman bagi membantu memperkukuh hala tuju negara,” katanya.
Menurut beliau lagi, sambutan ulang tahun UMNO ke-80 bukan sahaja menjadi simbol sejarah perjuangan, tetapi juga medan untuk memperbaharui iltizam dalam mendepani cabaran semasa termasuk menyantuni generasi muda khususnya Gen-Z, pembangunan ekonomi, perpaduan rakyat dan kestabilan politik.
Ujarnya, sambutan tahun ini adalah platform penting untuk menghargai jasa para pemimpin terdahulu yang telah meletakkan asas kepada pembangunan negara sejak era awal kemerdekaan lantas menjadi pemangkin masa hadapan.
“UMNO terus memainkan peranan dalam arus pembangunan negara, peranannya sangat besar dan jasanya kepada seluruh masyarakat tidak ternilai. Justeru marilah kita terus memperkukuh semangat perjuangan, di samping memperteguh komitmen terhadap agama, bangsa dan negara,” katanya lagi. – UMNO Online
