Pidato Piala AZH Jadi Tanda Sokongan Berterusan Anak Muda kepada UMNO – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 30 April – Penyertaan ramai anak muda dalam Pertandingan Pidato Piala Ahmad Zahid Hamidi (AZH) menjadi bukti sokongan berterusan golongan tersebut terhadap UMNO.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, peranan UMNO sebagai ‘madrasah’ untuk melahirkan pelapis kepimpinan perlu dimanfaatkan sepenuhnya melalui usaha mencungkil bakat-bakat baharu dalam kalangan generasi muda.

“Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kita dapat lihat minat orang muda untuk menyertai UMNO sangat luar biasa. Program-program yang ditawarkan, termasuk oleh Pergerakan Puteri UMNO melalui Pertandingan Pidato Piala AZH ini, berjaya menarik penyertaan ramai anak muda.

“Ada peserta dalam kalangan pelajar sekolah menengah, selain anak muda yang telah menamatkan pengajian. Apa yang paling penting adalah usaha mencungkil bakat kepimpinan mereka, kerana golongan ini merupakan aset negara pada masa hadapan,” katanya kepada UMNO Online.

Tambah beliau, platform seperti ini amat penting bagi memastikan parti itu terus melahirkan pemimpin yang berkualiti dan berwibawa pada masa akan datang.

“Kita harus melihat UMNO sebagai sebuah madrasah yang melahirkan pelapis kepimpinan. Ini penting untuk memastikan kita dapat melahirkan pemimpin yang bukan sahaja memahami akar perjuangan, tetapi juga berkompetensi, berwibawa, bersahsiah tinggi dan berintegriti.

“Ciri-ciri ini akan menjadi daya juang penting dalam memastikan kelangsungan perjuangan agama, bangsa dan tanah air,” katanya lagi.

Untuk rekod, Pertandingan Pidato Piala AZH yang berlangsung dari 29 April hingga 1 Mei ini diadakan bersempena sambutan ulang tahun UMNO ke-80.

Pertandingan yang mempertandingkan dua kategori iaitu Muda dan Utama itu berjaya menarik lebih 100 penyertaan daripada pelbagai lapisan umur, bermula daripada pelajar sekolah sehingga orang awam berusia di bawah 40 tahun.

Seramai 42 peserta menyertai kategori Muda yang terdiri daripada pelajar sekolah, manakala 62 peserta lagi melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) serta orang awam dalam kategori Utama.

Sesi saringan pertandingan ini telah berlangsung dengan jayanya pada Rabu, mempertaruhkan 104 peserta dari kategori Muda dan Utama yang telah menzahirkan pelbagai buah pemikiran untuk mengukuhkan semula parti keramat UMNO.

Pada Khamis akan berlangsung peringkat separuh akhir yang bakal mempertaruhkan 20 finalis dari kategori Muda dan Utama. Pertandingan dijangka akan bermula pada jam 9.30 pagi dan akan diakhiri dengan pengumuman finalis peringkat akhir pada jam 6.00 petang.

Kemuncak bagi acara Pertandingan Pidato Piala AZH akan berlangsung pada Jumaat, 1 Mei 2026, bermula pada jam 6.00 petang. Seramai 10 finalis dari kategori Muda dan Utama bakal bertanding bagi merebut gelaran juara.

Penganjuran pertandingan ini bukan sahaja menjadi platform untuk mencungkil bakat baharu, malah berperanan sebagai medium untuk memperkukuhkan semangat jati diri, kepimpinan serta kecintaan terhadap perjuangan parti dalam kalangan generasi muda. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO