Ulang Tahun UMNO Ke-80 Simbol Keteguhan, Kesetiaan – Puteri UMNO
KUALA LUMPUR, 30 April – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi menyambut baik penganjuran Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-80 yang disifatkan sebagai lambang kekuatan dan kesinambungan perjuangan parti.
Beliau berkata, bagi memeriahkan sambutan itu Puteri UMNO turut mengambil inisiatif dengan mengadakan program Piala Pidato AZH sebagai wadah kepada golongan muda untuk menghayati perjuangan UMNO menerusi pengukuhan kemahiran pengucapan awam.

“Pergerakan Puteri UMNO menyambut baik Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-80 sebagai simbol keteguhan, kesetiaan dan kesinambungan perjuangan.
“Puteri UMNO menganjurkan program Piala Pidato AZH bagi memberi ruang kepada golongan muda memahami UMNO melalui pengucapan awam dan hujah yang bernas.
“Kami juga akan mengadakan sesi pertemuan khas bersama ahli baharu Puteri UMNO yang direkrut secara dalam talian bagi memperkenalkan perjuangan, peranan serta hala tuju parti,” katanya.
Nurul Amal berkata demikian ketika Mesyuarat Exco Pergerakan Puteri UMNO Malaysia yang diadakan di Menara Dato’ Onn hari ini.
Sementara itu beliau turut menyentuh berkenaan Rumah Bangsa yang disifatkan beliau sebagai langkah positif dan konstruktif dalam menyatukan barisan kepimpinan Melayu.
Katanya mesyuarat tersebut juga membincangkan berkenaan pendaftaran keahlian UMNO dan pelaksanaan mesyuarat cawangan secara dalam talian.
“Puteri UMNO melihat dan menyambut baik inisiatif Rumah Bangsa sebagai satu usaha murni dalam menyatukan pemimpin-pemimpin Melayu dalam satu wadah bagi menghimpunkan kembali kepimpinan Melayu demi menguat dan memperkasa parti.
“Seiring arus pemodenan dan perkembangan teknologi semasa, ketetapan yang diambil oleh kepimpinan MKT untuk membuka keahlian UMNO dan pelaksanaan mesyuarat cawangan secara atas talian adalah sangat tepat.
“Inisiatif ini dilihat sebagai kaedah yang praktikal, memudahkan penglibatan dan membuka ruang yang lebih ruas kepada anak muda untuk menyertai parti.
“Puteri UMNO di peringkat cawangan, bahagian dan negeri-negeri berada dalam keadaan siap siaga dalam menghadapi siri-siri pilihanraya Negeri. Puteri UMNO komited dan bertekad untuk menggandakan usaha dalam memastikan kejayaan dan kemenangan parti UMNO-Barisan Nasional nanti,” ujar beliau. – UMNO Online
