Ulang Tahun UMNO Ke-80, Khaled Tekankan Kesetiaan Dan Agenda Melayu
KUALA LUMPUR, 30 April — UMNO menyambut ulang tahun ke-80 dengan penuh kesyukuran serta penegasan terhadap kepentingan kesetiaan ahli dalam memastikan kelangsungan parti di persada politik negara.
Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kekuatan parti itu banyak bergantung kepada kesetiaan ahli yang tetap bersama UMNO sama ada ketika menang mahupun kalah dalam pilihan raya.

“Parti ini amat menghargai kesetiaan kerana kesetiaan itu sama ada semasa parti menang atau kalah telah meletakkan UMNO sentiasa ada di persada politik tanah air,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Pertahanan turut menyatakan bahawa UMNO kini berada dalam kedudukan yang stabil dan kukuh berbanding parti-parti politik lain di negara ini.
“Dalam kita menyambut usia 80 ini kita sangat bersyukur dan gembira kerana berbanding dengan semua parti lain kitalah yang paling kuat dan stabil,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan komitmen UMNO untuk terus memperjuangkan agenda Melayu melalui inisiatif seperti “Rumah Bangsa”, yang bertujuan memperkukuh pemahaman dan penyatuan masyarakat Melayu dalam mencapai kejayaan serta kesejahteraan.
“Namun begitu kita tak berhenti setakat itu dan wujudkan Rumah Bangsa kerana kita nak semua orang Melayu faham dan bersama-sama menjayakan agenda untuk orang Melayu supaya bangsa kita berjaya dan hidup dalam keadaan yang sejahtera,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli UMNO atas sokongan dan kesetiaan berterusan terhadap parti tersebut. – UMNO Online
