Dr Asyraf Tinjau Persiapan, Alu-alukan Rai Ulang Tahun UMNO Ke-80
KUALA LUMPUR, 30 April – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, telah hadir ke Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, untuk meninjau persiapan akhir menjelang sambutan ulang tahun UMNO ke-80, sebentar tadi.
Ujarnya, terdapat pelbagai program yang akan berlangsung sempena ulang tahun UMNO ke-80 ini, termasuklah Kongres Pendidikan Bumiputra.

“Alhamdulillah, saya sempat meninjau persiapan akhir menjelang sambutan ulang tahun ke-80 UMNO yang akan berlangsung dari 1 hingga 5 Mei. Sambutan ini akan bermula esok dengan pelbagai program yang telah dirancang, termasuk Kongres Pendidikan Bumiputera dan acara-acara lain oleh sayap Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO.
“Esok juga akan berlangsung Pertandingan Nasyid Kebangsaan anjuran Wanita UMNO, selain program ‘Voice of Her’. Terdapat juga pelbagai reruai yang menampilkan usahawan-usahawan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri.
“Semua sayap ini turut berkolaborasi dalam usaha menyantuni pengundi muda, khususnya pengundi atas talian yang menerima sambutan luar biasa apabila mencatatkan lebih 13,000 pendaftaran dalam tempoh seminggu,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, beliau turut mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk memeriahkan acara bersejarah tersebut.

“Sehubungan itu, kita amat mengalu-alukan kehadiran rakyat Malaysia, khususnya warga kota dan sekitar, untuk beramai-ramai ke WTC, Kuala Lumpur bermula 1 hingga 5 Mei, dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam.
“Pelbagai program menarik telah disediakan untuk pengunjung dan bagi saya, sambutan 80 tahun ini merupakan satu detik yang unik kerana ia hanya datang sekali dalam sejarah,” katanya lagi.
Untuk rekod, UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946 hasil daripada penyatuan orang Melayu yang bangkit menentang penubuhan Malayan Union yang mengancam kedaulatan Raja-Raja Melayu dan hak orang Melayu.
Dipelopori oleh Datuk Onn Jaafar, penubuhan UMNO menjadi titik tolak kepada gerakan nasionalisme Melayu yang tersusun dan berpengaruh. Parti ini kemudiannya memainkan peranan penting dalam rundingan kemerdekaan bersama pemimpin seperti Tunku Abdul Rahman, sehingga membawa kepada kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957.
Sepanjang lapan dekad, UMNO terus menjadi antara tunjang utama dalam pembentukan negara bangsa, memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera serta menyumbang kepada kestabilan politik dan pembangunan negara.
Ulang tahun ke-80 ini menjadi detik penting untuk mengenang sejarah perjuangan parti, memperkukuh semangat perpaduan dan merencana masa depan yang lebih inklusif serta berdaya tahan. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
