UMNO Ke-80: Dari Dominasi Ke Transformasi, Keterbukaan Suara Anak Muda Penentu Masa Depan
KUALA LUMPUR, 30 April – Memasuki usia 80 tahun, UMNO berdepan cabaran baharu dalam usaha mengekalkan relevansi maka gabungan keterbukaan kepimpinan dan penglibatan aktif generasi muda kini menjadi antara faktor penentu hala tuju parti tersebut.
Peserta Pidato Piala Ahmad Zahid Hamidi (AZH), Asek Abdullah berpandangan bahawa UMNO perlu bersikap realistik dan bersedia melakukan perubahan demi masa depan parti.

“Melihat kepada hari ini, saya berpendapat kita perlu bersikap realistik dan mengakui bahawa UMNO bukan lagi parti yang dominan seperti suatu ketika dahulu. Namun begitu, setiap parti mempunyai kelebihan tersendiri dan ruang untuk penambahbaikan.
“Secara peribadi, saya melihat UMNO sebagai sebuah parti yang suatu ketika dahulu menjadi harapan ramai, termasuk diri saya sendiri. Malah, tidak mustahil suatu hari nanti akan kembali menjadi dominan.
“Namun, perubahan tidak boleh bergantung kepada angan-angan semata-mata. Ia memerlukan cadangan yang konstruktif dan usaha bersepadu daripada semua ahli parti,” katanya kepada UMNO Online.
Tambahnya, penjenamaan semula perlu dilakukan dengan mengambil kira cadangan dan pandangan anak muda serta dijadikan sebagai teras utama perubahan.
“Bersempena ulang tahun ke-80 UMNO, harapan saya agar parti ini memberi penekanan kepada usaha penjenamaan semula (rebranding). Kita dapat melihat bagaimana parti-parti lain semakin aktif menarik penglibatan anak muda, bukan sahaja dalam politik tetapi juga dalam menyumbang idea dan cadangan, sama ada secara fizikal mahupun di platform digital.
“Justeru, saya berharap menjelang ulang tahun ke-80 ini, UMNO dapat melakukan pembaharuan yang lebih menyeluruh dengan mengangkat suara anak muda sebagai teras utama perubahan. Golongan muda tidak seharusnya dilihat sekadar pemberi cadangan, tetapi sebagai agen penting dalam membentuk masa depan parti,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Juri Pidato Piala AZH, Nurfatin Syahira Zolkafli berkata, sikap keterbukaan para pemimpin parti dalam menerima pandangan amat penting untuk memastikan UMNO terus kekal relevan dalam landskap politik tanah air.

“Pada pandangan saya, UMNO pada masa kini semakin menunjukkan sifat keterbukaan. Keterbukaan ini bukan sahaja dapat dilihat di peringkat akar umbi, malah turut dizahirkan oleh barisan kepimpinan tertinggi parti.
“Pemimpin-pemimpin UMNO kini dilihat lebih terbuka dalam menerima komen, cadangan dan pandangan bukan sahaja daripada ahli-ahli parti, tetapi juga daripada masyarakat luar.
“Sikap ini amat penting untuk memastikan UMNO terus kekal relevan dan berdaya saing, khususnya dalam landskap politik negara yang semakin mencabar,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar UMNO terus istiqamah dalam perjuangannya untuk membela agama, bangsa dan tanah air.
“Saya juga berharap agar UMNO terus istiqamah dalam perjuangannya dan berupaya memberikan kekuatan kepada seluruh ahli parti. Ini kerana kekuatan yang ditunjukkan oleh kepimpinan akan menjadi sumber inspirasi dan sinergi kepada ahli-ahli di peringkat akar umbi.
“Akhirnya, keyakinan ahli terhadap parti terus terpelihara dan mereka akan kekal percaya bahawa UMNO mampu memperjuangkan nasib bangsa serta memainkan peranan penting dalam pembangunan negara,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
