Ulang Tahun Ke-80: UMNO Perlu Terus Dipelihara, Diperkukuh – Gen Z

KUALA LUMPUR, 2 Mei – UMNO bukan sekadar sebuah parti politik, tetapi satu legasi panjang yang telah membentuk landskap negara sejak puluhan tahun lalu dan ia perlu dipelihara serta diperkukuhkan untuk generasi akan datang.

Mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kedah, Nik Daniel Haris Murshidey Nik Anuar berkata, masih ramai golongan anak muda yang menghargai sejarah perjuangan UMNO dan peranan dimainkan sepanjang 80 tahun dalam arena politik.

“Sebagai seorang anak muda, saya melihat UMNO pada satu sisi, masih ramai golongan muda yang menghargai parti ini atas sejarah panjangnya dan peranan penting dimainkan sejak lebih 80 tahun lalu. Secara peribadi, saya juga menghargai sumbangan tersebut.

“Namun begitu, dalam konteks generasi kini, khususnya Gen-Z, pandangan itu menjadi lebih pelbagai. Ini kerana wujudnya pelbagai sentimen dan isu semasa serta kemunculan parti-parti lain yang dilihat lebih menonjol. Keadaan ini secara tidak langsung mempengaruhi persepsi anak muda terhadap UMNO.

“Oleh itu, saya berharap agar UMNO boleh mengambil inisiatif untuk lebih mendekati generasi muda dengan memanfaatkan idea-idea baharu yang dibawa oleh mereka. Banyak potensi dan inovasi daripada generasi ini yang boleh dimanfaatkan untuk memangkin parti ke tahap yang lebih relevan serta progresif,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang menyertai pertandingan Pidato Piala Ahmad Zahid Hamidi (AZH) juga berharap agar legasi perjuangan UMNO akan diteruskan oleh generasi akan datang.

“Bersempena ulang tahun ke-80 UMNO, harapan saya agar parti ini terus kekal bukan sekadar mencapai usia 80 tahun, tetapi mampu meneruskan legasi yang telah dibina untuk masa depan yang lebih panjang. Semoga UMNO terus berkembang dan kekal relevan dalam landskap politik negara,” katanya lagi.

Sementara itu, peserta Pidato Piala AZH, Nur Jannah Husna Sukardi pula berpandangan bahawa UMNO konsisten menganjurkan pelbagai program yang dapat memberi manfaat kepada mahasiswa.

“Dari sudut pandang seorang mahasiswa, saya melihat UMNO sebagai satu-satunya parti yang konsisten dalam menganjurkan kongres pendidikan serta pelbagai program untuk mahasiswa.

“Inisiatif ini penting bagi memastikan golongan mahasiswa kekal relevan dan terus diberi ruang dalam parti. Itulah antara sebab utama saya melihat nilai dalam penglibatan bersama UMNO,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berharap agar UMNO meneruskan segala platform yang telah direkayasa agar legasi perjuangan UMNO dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Bersempena ulang tahun ke-80 UMNO, harapan saya agar program-program seperti pidato dan pelbagai bentuk pengucapan awam ini diteruskan, bukan sahaja kini tetapi juga untuk generasi akan datang.

“Kita akan menyaksikan kemunculan generasi baharu dan penting untuk mereka terus diberi platform sebegini agar tidak melupakan akar umbi dan legasi yang telah dibina.

“Dalam masa yang sama, usaha ini juga mampu memperkukuhkan masa depan kita. Tempoh 80 tahun bukanlah satu jangka masa yang singkat, ia panjang dan penuh sejarah. Oleh itu, kita perlu terus memelihara dan memperkukuhkan UMNO demi kepentingan bangsa Melayu dan juga Malaysia secara keseluruhannya,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO