UMNO Ke-80: Adaptasi Realiti Semasa Tanpa Gadai Prinsip Perjuangan
KUALA LUMPUR, 30 April – Bersempena ulang tahun UMNO ke-80, Ketua Puteri UMNO Bahagian Segambut, Nur Atiqah Najihah Hairudi menyifatkan sambutan ini bukan sekadar acara simbolik, sebaliknya sebagai titik kebangkitan baharu buat parti.
Beliau berkata ia juga harus dijadikan pemangkin untuk melakukan perubahan agar UMNO terus kekal relevan dalam landskap politik semasa.
“Ini bukan sekadar sambutan sebaliknya adalah titik kebangkitan parti.
“UMNO mesti berani berubah, UMNO perlu beradaptasi dengan realiti semasa, tanpa menggadaikan prinsip perjuangan yang menjadi asas kekuatan kita,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, beliau turut sama menegaskan bahawa Puteri UMNO kekal konsisten membawa usul berkaitan had umur keahlian, katanya ia sebagai langkah strategik memperkukuh kesinambungan kepimpinan wanita muda dalam parti.
Menurutnya,ini kerana realiti semasa menunjukkan wanita muda memerlukan ruang dan tempoh lebih panjang untuk membina pengalaman, kematangan serta kepimpinan sebelum melangkah ke peringkat seterusnya.
“… yang memelihara perjuangan bukan usia parti atas nombornya, tetapi sifat keberanian untuk pembaharuan. Walaupun bermula dari suara kecil akar umbi namun jangan pandang ia sebagai sepi. Begitu juga dengan usul Puteri, had umur 40 adalah terbaik untuk rejuvenasi.
“Harapan saya agar usul ini terus diberi perhatian dan pertimbangan serius.
“Ini bukan soal struktur semata-mata, tetapi soal masa depan parti demi memastikan Puteri UMNO kekal relevan sebagai platform melahirkan barisan pelapis wanita yang berkualiti, berdaya saing dan bersedia memimpin parti dan negara,” ujar beliau. – UMNO Online
