Sambutan Pendaftaran Keahlian UMNO Dalam Talian Bukti Parti Kekal Relevan – Farhan Ahmad

KUALA LUMPUR, 30 April – Inisiatif memperkenalkan pendaftaran keahlian UMNO secara dalam talian yang diaktifkan baru-baru ini membuktikan parti kekal relevan, progresif serta responsif dalam mendepani perubahan zaman.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena, Mohd Farhan Ahmad berkata, langkah tersebut dilihat sebagai satu anjakan penting dalam memastikan UMNO terus seiring dengan perkembangan teknologi serta kehendak generasi masa kini.

Beliau menzahirkan kesyukuran apabila usaha untuk melaksanakan pendaftaran secara dalam talian akhirnya direalisasikan menjelangnya detik bersejarah sambutan lapan dekad perjuangan parti itu.

“Saya bersyukur kerana akhirnya, bersempena ulang tahun ke-80 UMNO, pendaftaran Online dibenarkan. Langkah ini membuktikan bahawa UMNO sentiasa relevan, progresif dan responsif terhadap tuntutan zaman.

“Sepatutnya, UMNO telah lama menyediakan platform pendaftaran ahli secara dalam talian selaras dengan perkembangan pesat teknologi dan keperluan semasa yang proaktif dalam memenuhi kehendak generasi baharu yang mahukan urusan lebih pantas, mudah dan efisien.

“Namun, langkah ini amat bersesuaian dengan dunia moden yang membuka lembaran baharu ke arah pendigitalan sarat dengan teknologi, memudahkan urusan seharian rakyat tanpa mengira latar belakang,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, kata Farhan pendekatan digital tersebut menjadi jambatan penting untuk mendekatkan anak muda dengan parti keramat itu dalam suasana yang lebih selari dengan gaya hidup mereka.

“Ia bukan sekadar kemudahan, tetapi manifestasi keinginan anak muda untuk menyertai parti keramat ini dengan cara yang lebih dekat dengan jiwa mereka yang pantas, mudah dan mesra digital.

“Dengan adanya platform digital ini ahli baru dapat mendaftar dengan lebih cepat dan telus. Generasi muda melihat UMNO sebagai parti yang mampu bergerak seiring dengan arus teknologi,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau mengakui bahawa langkah ini akan memperkukuh usaha memperluas keahlian parti serta merapatkan hubungan UMNO dengan masyarakat, khususnya golongan muda.

“Ia memperkukuh usaha memperluas keahlian dan mempererat hubungan parti dengan masyarakat. Inilah bukti bahawa UMNO bukan sahaja menghargai tradisi perjuangan, tetapi juga berani berinovasi demi masa depan bangsa dan negara.

Tegasnya, pendekatan tersebut menjadi bukti bahawa UMNO bukan sahaja menghargai tradisi perjuangan yang telah dibina sejak sekian lama, malah berani melakukan inovasi demi memastikan kelangsungan perjuangan parti, agama, bangsa dan negara terus terpelihara.

Terdahulu, pendaftaran ahli baharu UMNO yang dilancarkan secara dalam talian (online) pada April 2026 telah dirasmikan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Lebih 11,000 ahli baharu telah mendaftar dalam tempoh beberapa hari selepas sistem ini dilancarkan, dengan sebahagian besarnya adalah anak muda. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO