Lapan Dekad Perjuangan UMNO Tunjang Pembentukan Negara – Fuad Tukirin
KUALA LUMPUR, 30 April – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Naning, Datuk Mohd Fuad Tukirin menjelaskan bahawa perjalanan lebih lapan dekad UMNO tanah air telah membawa pelbagai perubahan besar kepada masyarakat, khususnya orang Melayu.
Menurut beliau, sejak penubuhannya, UMNO bukan sahaja menjadi tunjang kepada pembentukan negara bangsa, malah turut memainkan peranan penting dalam memperkasa sosioekonomi rakyat serta mempertahankan kedaulatan tanah air.
“Setelah lapan dekad UMNO berada di bumi Malaysia ini ia telah banyak memberi perubahan kepada anak bangsa terutamanya orang-orang Melayu dalam negara ini. Mudah-mudahan UMNO terus relevan dan maju diperingkat antarabangsa dan juga akan terus menjadi wadah perjuangan untuk kita semua.
“Cabaran politik semasa memerlukan seluruh ahli parti untuk terus bersatu, memperkukuh semangat perjuangan dan menyesuaikan pendekatan agar selari dengan kehendak generasi masa kini tanpa mengabaikan asas perjuangan asal.
“Selamat Ulang Tahun UMNO ke-80. Semoga perjuangan ini terus diberkati dan kekal relevan sepanjang zaman,” katanya kepada UMNO Online.
Dalam masa yang sama beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor menzahirkan penghargaan tidak terhingga kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas usaha dan iltizam beliau memperkukuhkan parti melalui pendekatan penyatuan ummah Melayu.
Jelasnya, inisiatif ‘Rumah Bangsa’ yang diperkenalkan oleh Presiden UMNO itu merupakan satu langkah strategik dalam merapatkan semula saf perjuangan orang Melayu yang sebelum ini terpisah daripada arus perjuangan parti.
“Alhamdulillah… setinggi-tinggi penghargaan buat Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berjiwa besar dan dengan iltizamnya telah mewujudkan Rumah Bangsa ini.
“Sebenarnya, Rumah Bangsa ini menyatupadukan seluruh orang-orang Melayu yang ‘tergelincir’ sebelum ini dan kembali kepada UMNO. Hanya dalam perjuangan parti ini yang dapat diterjemahkan kepada bangsa kita,” katanya lagi.
Tambah beliau lagi, usaha ini bukan sahaja mengukuhkan parti, malah menjadi wadah penyatuan orang Melayu demi kelangsungan masa depan politik dan kestabilan negara di bawah perjuangan UMNO. – UMNO Online
