Kembali Ke Rumah Bangsa, Wanita UMNO Perkukuh Peranan Sempena Ulang Tahun Ke-80
KUALA LUMPUR, 29 April — Semangat Rumah Bangsa yang dicetuskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi landasan perjuangan baharu parti dalam mendepani cabaran semasa, selari dengan sambutan ulang tahun ke-80 parti keramat itu tahun ini.
Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, berkata konsep Rumah Bangsa mencerminkan kesatuan, keutuhan dan tanggungjawab bersama dalam mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.
Menurut beliau, usia 80 tahun bukan sekadar angka, sebaliknya melambangkan kematangan perjuangan UMNO yang telah melalui pelbagai fasa cabaran politik dan sosial negara.

“Idea Rumah Bangsa adalah langkah terbaik yang diangkat oleh kepimpinan parti bagi memperkukuh UMNO malah ia kemasukan tanpa syarat terbuka kepada semua lapisan masyarakat Melayu/Bumiputera khususnya bekas ahli yang sebelum ini meninggalkan kita.
“Dalam hal ini, Wanita UMNO akan terus memainkan peranan penting bagi memastikan UMNO sentiasa relevan, memastikan kesinambungan perjuangan ini kembali kukuh dan diterima generasi baharu,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Wanita UMNO sentiasa komited memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat serta memperkasakan agenda kebajikan dan ekonomi rakyat, khususnya wanita dan keluarga.
Dalam konteks Rumah Bangsa, katanya, setiap ahli perlu menghayati nilai kebersamaan dan memperkukuhkan solidariti tanpa mengira latar belakang, demi memastikan kestabilan dan kemakmuran negara terus terpelihara.
Bersempena sambutan ulang tahun ke-80 ini, beliau menyeru seluruh ahli untuk sama-sama memperbaharui tekad dan memperkukuh iltizam dalam meneruskan legasi perjuangan parti, demi masa depan negara yang lebih gemilang.
Beliau turut mengajak seluruh ahli dan rakyat untuk bersama-sama memeriahkan sambutan ulang tahun ke-80 UMNO yang akan berlangsung hujung minggu ini dengan pelbagai pengisian bermakna, termasuk program-program melibatkan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.
“Wanita UMNO sendiri penganjuran pertandingan nasyid serta forum pemerkasaan wanita yang dijangka akan memberi impak positif kepada pembangunan masyarakat.
“Ini adalah inisiatif yang mencerminkan komitmen berterusan Wanita UMNO dalam memperkasa peranan wanita merangkumi aspek kerohanian, kepimpinan dan pembangunan ekonomi,” ujarnya lagi. – UMNO Online
