Pas Eksploitasi Isu Dap Untuk Bakar Sentimen Melayu/Islam, Serang UMNO – Ruzaini

PADANG BESAR, 29 April – Isu hubungan antara UMNO dan Dap kembali hangat apabila Pas dilihat terus memainkan naratif tersebut bagi menyerang UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Padang Besar, Ruzaini Rais, dalam satu kenyataan menegaskan bahawa Pas sebenarnya pernah menjalinkan kerjasama secara langsung dengan Dap selama beberapa pilihan raya umum sebelum ini.

Menurut beliau, “Pas amat sedar Dap adalah ‘barang dagangan’ yang boleh membakar sentimen Melayu dan Islam, sebab itu isu ini terus dimainkan.”
Ruzaini menjelaskan bahawa hubungan antara UMNO dan Dap dalam Kerajaan Perpaduan berlaku selepas kebuntuan pembentukan kerajaan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Kerjasama UMNO-Dap bukan dirancang. Ia berlaku selepas tiada parti memperoleh majoriti dan atas keperluan menyelesaikan krisis politik negara,” katanya.
Sebaliknya, beliau mendakwa hubungan Pas dengan Dap berlaku lebih lama dan bersifat strategik.

“PAS-Dap berlaku selama lebih kurang 12 tahun atau tiga kali PRU. Tujuannya jelas untuk menjatuhkan kerajaan yang didukung sepenuhnya oleh pemimpin Islam-Melayu ketika itu. Begitu juga situasi selepas PRU 2008 di Selangor, UMNO pernah mencadangkan kerjasama dengan Pas untuk membentuk kerajaan negeri. Namun Pas menolak dan memilih untuk bersama Dap dan PKR dalam gabungan yang kemudiannya dikenali sebagai Pakatan Rakyat.

“Tiba hari ini, apabila tidak lagi tidur sebantal dengan Dap, diulang-ulang ayat yang ‘Islam, Melayu terancam’. Jika benar-benar terancam, Pas-lah antara penyebab utamanya. Pas yang awal-awal lagi membantu mengukuhkan kedudukan Dap.”

Ruzaini turut menegaskan bahawa UMNO tetap mempertahankan prinsip dalam kerjasama bersama Pakatan Harapan.

“Sebelum terbentuknya kerajaan ini, UMNO berunding dan menandatangani persetujuan sebelum pembentukan kerajaan dengan meletakkan 10 syarat terhadap pihak PH,” katanya.

Ujarnya, semasa dalam kerajaan pun UMNO bersikap tegas dan membantah beberapa cadangan yang dibawa oleh Dap. Antaranya ialah:
i. Membantah pengiktirafan UEC
ii. Menolak cadangan untuk mengadakan pilihan raya PBT
iii. Membantah untuk menjadikan Kampung Baru Cina sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO
iv. Membantah cadangan melantik bukan Muslim menganggotai Jawatankuasa Khas mengkaji Undang-undang Syariah
v. Menolak RUU Pembaharuan Semula Bandar (URA) dan meminta dikaji semula Ini adalah bukti jelas betapa UMO tidak sesekali menggadai prinsip perjuangan kepada Dap

Dalam masa sama, Ruzaini mengkritik Pas kerana didakwa mengubah pendirian ideologi.

“Dahulu Pas membawa slogan ‘Negara Islam’, tetapi kini bertukar kepada ‘Negara Kebajikan’. Perubahan ini berlaku ketika mereka bekerjasama dengan Dap,” katanya.

Ruzaini menegaskan bahawa dakwaan kononnya UMNO menggadaikan prinsip adalah tidak berasas.

“Terang lagi bersuluh, yang menggadaikan prinsip perjuangan kerana Dap adalah Pas,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO