Ribut: UMNO Pendang Gerak Bantuan, Persoal Tindakan Wakil Rakyat Kutip Derma
PENDANG, 29 April — Ketua UMNO Bahagian Pendang, Datuk Suraya Yaakob, telah menggerakkan usaha bantuan kepada mangsa ribut yang melanda daerah ini pada Isnin lalu, mengakibatkan lebih 50 rumah dilapor rosak termasuk kemudahan di MRSM Pendang.
Ujarnya, walaupun tidak berada dalam kerajaan negeri dan tanpa peruntukan rasmi, UMNO Bahagian Pendang tetap tampil membantu melalui gerakan sukarelawan, sumbangan dalaman serta penyelarasan bantuan di peringkat akar umbi.
Menurut Suraya, keutamaan ketika ini adalah memastikan mangsa mendapat bantuan segera tanpa berlengah.
“Kita tak tunggu ada peruntukan baru nak bergerak. Bila rakyat susah, kita turun bantu setakat yang termampu,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha tersebut digerakkan bersama kepimpinan bahagian, termasuk timbalan ketua serta ahli-ahli UMNO yang turun padang membantu mangsa di kawasan terjejas.
Dalam masa sama, beliau mempersoalkan tindakan pihak yang mempunyai kuasa dan jawatan, termasuk wakil rakyat, yang dilihat masih mengharapkan sumbangan orang ramai.
“Yang ada jawatan, yang ada kerajaan negeri, masih minta sumbangan daripada rakyat. Sepatutnya mereka gunakan kedudukan untuk salurkan bantuan segera, bukan bergantung kepada kutipan awam,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ekoran tindakan Pas Pendang yang dilaporkan membuat rayuan terbuka bagi mengumpul dana bantuan, walaupun mempunyai wakil rakyat dan kedudukan dalam pentadbiran.
Suraya menegaskan bahawa bantuan bencana seharusnya disalurkan melalui mekanisme rasmi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar lebih cepat dan tersusun.
“Rakyat perlukan tindakan, bukan sekadar kempen kutipan. Bila ada kuasa, gunakanlah untuk bantu rakyat,” katanya.
Tegas beliau lagi, tindakan proaktif terhadap rakyat adalah komitmen yang sewajarnya menjadi keutamaan khususnya dalam keadaan bencana dan musibah yang berlaku.
“Ini adalah tanggungjawab social tanpa mengira kedudukan politik, di samping mengingatkan semua pihak agar memainkan peranan sewajarnya ketika bencana, apatah lagi yang bergelar wakil rakyat.” – UMNO Online
