Ahmad Zahid Ucap Tahniah Kepada Azizulhasni Juara Piala Dunia Trek UCI 2026

KUALA LUMPUR, 26 April – Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang.

Menurutnya, ‘The Pocket Rocketman’ kembali menggegar dunia apabila menjadi juara dunia Trek UCI 2026 acara keirin lelaki yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai semalam.

“‘This man is a living legend’. Apa yang Dato’ Mohd Azizulhasni Awang lakukan semalam benar-benar luar biasa.

“Sesiapa yang menyaksikan pecutan beliau semalam tahu itu bukan sekadar kayuhan biasa, tapi lahir dari semangat dan jiwa seorang juara,” katanya dalam satu hantaran di Threads.

Seterusnya, selain mengucapkan tahniah, Ahmad Zahid juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Azizulhasni kerana terus mengharumkan nama Malaysia.

Dalam aksi final acara tersebut, Azizulhasni mengetepikan pencabar utama yang juga juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen yang berada di tempat kedua, manakala pelumba dari Trinidad & Tobago, Nicholas Paul menamatkan persaingan di kedudukan ketiga. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO