PDRC Perkasa Pelaksanaan Perumahan Mampu Milik Di Johor – Mohd Jafni

KUALA LUMPUR, 22 April – Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor memaklumkan kerajaan negeri terus memperkukuh agenda perumahan rakyat menerusi pelaksanaan Jawatankuasa Perancangan, Pembangunan dan Rekabentuk (PDRC).

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kulai berkata jawatankuasa tersebut merupakan platform strategik untuk memastikan agenda perumahan rakyat terus bergerak secara tersusun, tegas dan berkesan.

“Alhamdulillah, saya telah mempengerusikan satu persidangan penting melibatkan sebuah jawatankuasa khas Kerajaan Negeri iaitu PDRC Bilangan 2/2026. Sesi mesyuarat kali ini melibatkan lapan pemaju yang membawa projek di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Majlis Bandaraya Pasir Gudang , Majlis Perbandaran Pontian Majlis Perbandaran Batu Pahat , MY Mersing dan MDTangkak

“Sehingga sesi ke-36 sejak tahun 2022, saya telah mempengerusikan mesyuarat melibatkan 156 pemaju bagi projek Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) di 10 daerah, merangkumi 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan memberi kesan kepada keseluruhan 26 Parlimen di Negeri Johor,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Katanya ia membuktikan bahawa PDRC bukan satu pendekatan bersifat sementara, sebaliknya merupakan satu mekanisme berterusan Kerajaan Negeri untuk memantau, menyelaras, menekan komitmen dan memastikan pelaksanaan projek RMMJ benar-benar berlaku di lapangan.

Menurutnya sehingga ke sesi 36 hasil daripada mesyuarat jawatankuasa ini, Kerajaan Negeri telah berjaya mengikat komitmen pemaju menerusi 192 projek untuk membina sebanyak 49,603 unit Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ).

“Unit-unit ini melibatkan kategori harga RM50,000, RM100,000, RM150,000, RM250,000 dan RM300,000 yang dirangka khusus bagi memenuhi keperluan pelbagai lapisan rakyat Johor.

“Komitmen besar ini merupakan sebahagian penting daripada sasaran 100,000 unit rumah yang menjadi petunjuk prestasi utama (KPI) Kerajaan Negeri di bawah teraju Datuk Onn Hafiz Ghazi menjelang tahun 2030,” ujar beliau.

Mohd Jafni dalam pada itu menambah dalam memperhebat pembangunan negeri seiring dengan pembangunan strategik Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ), PDRC memainkan peranan secara agresif, tegas dan bersepadu sebagai jawatankuasa pemudah cara yang bukan sahaja membincangkan perancangan, tetapi menyediakan satu bentuk dokumentasi yang mempunyai “legal binding”.

Katanya pendekatan ini penting supaya setiap pemaju benar-benar terikat untuk melaksanakan tanggungjawab mereka membina komponen RMMJ dalam setiap projek yang dibangunkan.

“Kerajaan Negeri sentiasa bersikap terbuka dan membantu, khususnya kepada pemaju yang benar-benar komited, bertanggungjawab dan bersedia bekerjasama dalam menyediakan Rumah Mampu Milik untuk rakyat, di samping membawa masuk pelaburan yang memberi nilai tambah kepada ekonomi Johor.

“Suka untuk saya tegaskan dengan jelas bahawa tidak akan ada mana-mana pemaju yang terkecuali daripada melaksanakan tanggungjawab mereka membina RMMJ. Prinsip ini terpakai kepada semua, termasuk projek-projek yang berada dalam kawasan Johor Special Economic Zone (JSEZ). Pembangunan ekonomi tidak boleh bergerak berasingan daripada tanggungjawab sosial,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO