UMNO Main Peranan Kepada Penyatuan Orang Melayu, Landskap Politik – Rohazam

KUALA LUMPUR, 22 April – Ketua Penerangan UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Rohazam Bakar berpandangan UMNO memainkan peranan penting dalam membentuk kekuatan dan perpaduan dalam kalangan orang Melayu.

Beliau berkata ia seterusnya memberi kesan besar terhadap usaha parti dalam menentukan hala tuju, membuktikan keupayaan untuk terus kekal relevan dalam landskap politik negara.

“Jatuh bangun UMNO, masa depan sangat bergantung kepada perpaduan orang Melayu itu sendiri yang sekarang ini bersandar kepada keupayaan UMNO.

“Saya harap lepas ini, dengan segala inisiatif dibawa antaranya Rumah Bangsa, UMNO kembali menjadi pilihan untuk orang Melayu dan rakyat Malaysia untuk menerajui negara ini dan membawa negara kita ke tahap yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Mengulas lanjut berkenaan Rumah Bangsa, beliau menyifatkan ia sebagai signifikan dalam meraih sokongan khususnya pengundi atas pagar yang melihat ia simbolik kepada keterbukaan parti dalam menerima bekas ahli dan ahli baharu dalam saf perjuangan.

Menurut Rohazam lagi, inisiatif itu merupakan satu langkah yang jarang dilakukan oleh mana-mana parti politik kerana ia membuka ruang penyatuan semula secara lebih luas dan inklusif.

“Ini peluang yang sangat jarang berlaku dan parti-parti politik biasanya tidak membuat inisiatif yang macam ni.

“UMNO ambil langkah luar biasa membuat Rumah Bangsa, bukan sahaja dia akan menarik kembali orang-orang yang telah dipecat, digantung untuk kembali pada UMNO.

“Malahan ini juga ruang untuk mereka yang mungkin berada atas pagar melihat UMNO sebagai parti yang begitu terbuka menerima penyertaan tersebut,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO