Mohamad Hasan Santuni Rakyat Rembau, Semarak Aidilfitri Dan Perpaduan Komuniti
KUALA LUMPUR, 13 April – Timbalan Presiden UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan pada hujung minggu lalu turun padang menyantuni rakyat di kawasan dengan menghadiri beberapa rumah terbuka sempena Aidilfitri.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau memaklumkan kehadiran beliau ke Bandar Sri Sendayan dan Senawang bagi menyantuni masyarakat setempat untuk mengeratkan silaturahim selain memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan komuniti.
“Saya ke Taman Castora Hijayu 1A, Bandar Sri Sendayan bagi menghadiri Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina. Kita sebagai rakyat Malaysia yang berbagai kaum, dapat duduk semeja dalam suasana yang penuh keceriaan, melihat anak-anak gembira meraikan pelbagai perayaan bersama. Inilah keindahan Malaysia, hidup harmoni dalam kepelbagaian budaya.
“Dari majlis di Bandar Sri Sendayan, kemudiannya ke Majlis Sambutan Aidilfitri Persatuan Penduduk Taman Tuanku Jaafar Fasa 3A pula. Alhamdulillah, acara berlangsung dalam suasana penuh kemesraan dan keceriaan apabila penduduk berkumpul bersama meraikan Aidilfitri dalam semangat kejiranan yang erat.
“Saat sebegini bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah memperkukuh semangat muhibah dalam komuniti. Tahniah kepada Pengerusi KRT Taman Tuanku Jaafar Fasa 3A serta seluruh jawatankuasa atas penganjuran majlis yang meriah ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Mohamad Hasan pada perkongsian terdahulu turut sama berkongsi kunjungannya ke beberapa lagi program bersama masyarakat setempat antaranya Masjid Kariah Tanah Chembong di samping berkesempatan melihat sendiri Mesyuarat UMNO Cawangan Bandar Sri Sendayan.
Di Chembong, beliau meluangkan masa bersama penduduk setempat dalam Majlis Minum Petang Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di masjid berkenaan.
“Majlis tahunan ini berlangsung dalam suasana meriah dan penuh kemesraan, dengan pelbagai hidangan gerai makanan mewakili kampung dan taman masing2 menambahkan lagi keceriaan.
“Kehadiran masyarakat setempat yang ramai, jelas mencermin semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat dikariah ini
“Singgah melihat perjalanan Mesyuarat UMNO Cawangan Bandar Sri Sendayan. Tahniah kepada Saudara Ahmad Murshidi bin Kamal, Ketua UMNO Cawangan Bandar Sri Sendayan, serta seluruh ahli jawatankuasa cawangan atas penganjuran mesyuarat yang berjalan lancar.
“Semoga UMNO Cawangan Bandar Sri Sendayan terus kukuh, bergerak seiring akar umbi dan memainkan peranan penting dalam memperkasa perjuangan parti di peringkat cawangan,” ujar beliau. – UMNO Online
