Kekurangan Kuota Subsidi Diesel Menekan Industri Pengangkutan Awam

KUALA LUMPUR, 11 April – Penerangan Pemuda UMNO Negeri Kedah meluahkan kegusaran membabitkan isu kekurangan kuota subsidi diesel yang semakin menekan pengusaha pengangkutan awam.

Ketuanya, Mohd Safwan Jaafar berkata ini kerana situasi semasa menunjukkan kuota subsidi diesel yang diperuntukkan hanya mampu bertahan sekitar 20 hari setiap bulan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan operasi industri tersebut.

“Kami menyuarakan kebimbangan serius berhubung isu kekurangan kuota subsidi diesel yang kini dilaporkan hanya mampu bertahan sekitar 20 hari setiap bulan.

“Situasi ini telah memberi tekanan besar kepada industri pengangkutan awam, khususnya pengusaha bas ekspres yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran mobiliti rakyat.

“Akibat kekurangan kuota subsidi, ramai pengusaha terpaksa menggunakan dana sendiri bagi menampung kos tambahan akibat kenaikan harga diesel di pasaran terbuka,” katanya menerusi satu kenyataan.

Katanya lagi keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kelangsungan operasi syarikat bas, malah berpotensi memberi kesan langsung kepada pengguna melalui kenaikan harga tiket sekiranya tiada langkah penyelesaian diambil dalam kadar segera.

“Sehubungan itu, kami dengan rendah diri memohon pihak kerajaan untuk mempertimbangkan untuk menaikkan kuota subsidi diesel kepada sekurang-kurangnya 10,000 liter sebulan bagi setiap pengusaha bas ekspres.

“Kami juga mencadangan penilaian semula mekanisme pengagihan subsidi agar lebih selaras dengan keperluan operasi sebenar industri,” ujar beliau.

Beliau juga percaya bahawa langkah ini amat penting bagi memastikan industri pengangkutan awam terus berdaya tahan dan mampu menyediakan perkhidmatan yang berpatutan kepada masyarakat.

“Kerjasama dan keprihatinan pihak kerajaan dalam menangani isu ini amatlah penting bagi memastikan kelancaran mobiliti rakyat,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO