Kerajaan Komited Pastikan Kesejahteraan Anggota Tentera, Keluarga Diberi Keutamaan

KUALA LUMPUR, 10 April – Kerajaan komited untuk memastikan kesejahteraan anggota tentera dan keluarga terus diberi keutamaan, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Mohamed Khaled memaklumkan beliau telah berkesempatan untuk menyampaikan Sumbangan Kebajikan Yayasan LTAT kepada 20 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan waris pada Jumaat.

“Sebelum mengakhiri lawatan kerja ke Kuching, Sarawak, saya berpeluang menyampaikan Sumbangan Kebajikan Yayasan LTAT kepada 20 anggota ATM dan waris yang menghidap penyakit kronik.

“Saya kemudiannya berkesempatan bertemu warga ATM dalam Majlis Ramah Mesra di Kem Muara Tuang,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO turut menegaskan bahawa Sarawak dan seluruh wilayah negara mempunyai kepentingan strategik dari sudut keselamatan, pertahanan serta kedaulatan.

“Dalam pertemuan ini, saya berkongsi beberapa mesej penting. Sarawak dan seluruh wilayah negara mempunyai kepentingan strategik dari sudut keselamatan, pertahanan serta kedaulatan. Menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan setiap inci tanah air terus dipelihara dan dipertahankan.

“Negara menghargai jasa dan pengorbanan setiap anggota ATM dalam mempertahankan kedaulatan negara, selaras dengan kepercayaan serta keyakinan rakyat. Kepercayaan ini perlu terus dipelihara dengan menjunjung nilai teras seperti kesetiaan dan kecemerlangan, serta mengutamakan kepentingan negara,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa projek pembangunan pertahanan dipantau rapi agar dapat disiapkan mengikut jadual.

“Kerajaan komited untuk memastikan kesejahteraan anggota dan keluarga terus diberi keutamaan. Kediaman yang selesa seperti Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) membolehkan anggota memberi tumpuan sepenuhnya kepada tugas. Inisiatif seperti Program ‘Work-Based Learning’ (WBL) membantu memastikan laluan kerjaya yang jelas selepas bersara.

“Kolaborasi antara perkhidmatan dalam ATM akan terus diperkukuh bagi meningkatkan keupayaan agar tersusun, responsif dan bersepadu, manakala projek pembangunan pertahanan dipantau rapi supaya disiapkan mengikut jadual.

“Semoga usaha ini memastikan ATM kekal berwibawa, diyakini rakyat dan sentiasa bersedia mempertahankan kedaulatan negara, di samping kebajikan anggota sentiasa terpelihara,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO