Mohd Asna Ingatkan Majlis Peguam Jaga Kredibiliti Sistem Perundangan

KUALA LUMPUR, 11 April – Timbalan Yang Dipertua (Speaker) Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Mohd Asna Amin menegaskan Majlis Peguam perlu memainkan peranan besar dalam memastikan integriti sistem perundangan terus terpelihara.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng berkata kenyataan melibatkan kes Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) harus dibuat secara berhati-hati dan berlandaskan prinsip konsistensi.

“Pandangan yang dikemukakan perlu bersandarkan prinsip konsistensi dan tidak menimbulkan persepsi seolah-olah terdapat layanan berbeza dalam kes tertentu.

“Semua pihak termasuk badan profesional perlu mengelakkan kenyataan yang boleh menimbulkan persepsi wujud layanan berbeza dalam kes tertentu, sekali gus menjejaskan keyakinan awam terhadap institusi perundangan.

“Adalah penting untuk kita menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan dan mengelakkan sebarang kenyataan yang boleh disalah tafsir oleh masyarakat,” katanya.

Mengulas lanjut, Asna juga Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban turut merujuk kepada kenyataan oleh Datuk Ambiga Sreenevasan yang disifatkan mencerminkan pandangan tertentu berhubung isu tersebut.

“Sebarang pandangan berkaitan undang-undang perlu dibuat secara menyeluruh, berlandaskan fakta serta tidak menimbulkan persepsi berat sebelah.

“Jika mahu mempertahankan kedaulatan undang-undang, prinsip itu mesti dilaksanakan secara adil dan konsisten tanpa mengira individu atau pihak yang terlibat,” tegasnya lagi.

Terdahulu, bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S Ambiga yang hadir di Mahkamah Rayuan pada pendengaran rayuan Badan Peguam terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman terhadap keputusan Peguam Negara memohon perintah DNAA terhadap Presiden UMNO.

Melalui permohonan difailkan pada 2 Disember 2023 itu, Badan Peguam yang menamakan Peguam Negara dan Ahmad Zahid selaku responden, memohon perintah supaya keputusan Peguam Negara pada 4 September 2023, dibatalkan.

Rayuan itu didengar di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Faizah Jamaludin yang bersidang bersama-sama Datuk Dr Lim Hock Leng dan Datuk Nadzarin Wok Nordin.

Mahkamah menangguhkan kepada 15 April ini bagi mendengar hujahan Badan Peguam berhubung persoalan sama ada pelaksanaan kuasa Peguam Negara dalam kes sivil sama dengan kuasanya dalam kes jenayah. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO