Usia 80 Tahun Matangkan UMNO, Tetap Jadi Tonggak Orang Melayu
KUALA LUMPUR, 9 April – Menjangkau usia 80 tahun, UMNO dilihat semakin matang dalam persada politik tanah air dan kekal menjadi tonggak kepada orang Melayu.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena, Mohd Farhan Ahmad berkata, ulang tahun ke-80 ini perlu dijadikan titik tolak untuk memperkukuh sokongan dalam kalangan generasi muda.

“Harapan saya sempena ulang tahun ke-80 ini agar anak-anak muda dan pemimpin pelapis terus menyokong kepimpinan sedia ada, kekal setia kepada parti serta bekerja keras demi memastikan kelangsungan perjuangan.
“Ini adalah masa untuk kita berkorban kepada parti. Sebagai generasi muda, kita perlu bertungkus-lumus memperkukuh parti, turun padang dan meneruskan semangat perjuangan pemimpin terdahulu,” katanya kepada UMNO Online.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Gombak, Mohd Shaffie Omar berkata, perjalanan 80 tahun UMNO bukan sesuatu yang mudah.

“Pelbagai cabaran dan rintangan telah dihadapi, namun alhamdulillah sehingga hari ini UMNO masih kekal kukuh, kuat dan bersatu.
“Harapan saya agar UMNO terus mencapai kejayaan untuk 80 tahun akan datang. Insya-Allah. Selamat ulang tahun ke-80 UMNO,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang, Ahmad Zaki Shah Headan menegaskan bahawa UMNO sejak penubuhannya pada 1946 telah menjadi parti tonggak kepada orang Melayu dan agama Islam di Malaysia.

“Pelbagai cabaran, dugaan serta pengalaman pahit dan manis telah dilalui. Namun semua itu telah mematangkan UMNO sebagai sebuah parti.
“Insya-Allah, sempena ulang tahun ke-80 ini, besar harapan saya untuk melihat UMNO kembali memacu kepimpinan negara,” katanya.
UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946 hasil daripada penyatuan orang Melayu yang bangkit menentang penubuhan Malayan Union yang mengancam kedaulatan Raja-Raja Melayu dan hak orang Melayu.
Dipelopori oleh Datuk Onn Jaafar, penubuhan UMNO menjadi titik tolak kepada gerakan nasionalisme Melayu yang tersusun dan berpengaruh. Parti ini kemudiannya memainkan peranan penting dalam rundingan kemerdekaan bersama pemimpin seperti Tunku Abdul Rahman, sehingga membawa kepada kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1957.
Sepanjang lapan dekad, UMNO terus menjadi antara tunjang utama dalam pembentukan negara bangsa, memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera serta menyumbang kepada kestabilan politik dan pembangunan negara.
Ulang tahun ke-80 ini menjadi detik penting untuk mengenang sejarah perjuangan parti, memperkukuh semangat perpaduan dan merencana masa depan yang lebih inklusif serta berdaya tahan. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
