Mesyuarat Cawangan Penentu Masa Hadapan Parti, Perkukuh Ukhuwah Akar Umbi
KUALA LUMPUR, 10 April – Persidangan UMNO cawangan pada kali ini telah membuka tirainya pada awal bulan yang menyaksikan akar umbi mula mengambil tempat dalam menjalankan tanggungjawab kepada parti keramat ini.
Bagi Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah, Mohd Safwan Jaafar, beliau menyifatkan ia sebagai ruang terbaik kepada setiap ahli parti dalam memberi pandangan secara konstruktif dalam memperkasa UMNO.
Menurut beliau ia juga dapat memperkukuh perpaduan dan semangat kerja berpasukan dalam parti.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi harapan agar persidangan cawangan yang sedang berlangsung ketika ini dapat berjalan dengan lancar, tertib dan penuh semangat kekeluargaan.
“Persidangan ini merupakan platform penting untuk memperkukuh perpaduan akar umbi, menyuarakan pandangan secara matang serta merangka strategi terbaik demi menghadapi cabaran masa hadapan,” katanya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Alor Star.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda UMNO Negeri Terengganu, Mohd Hafiz Aziz, turut sama meluahkan harapan sama sambil menyifatkan segala perancangan dan keputusan yang dicapai pada persidangan ini sebagai penentu kepada masa hadapan parti.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Nerus itu juga berkata ia akan menjadi asas kepada pelaksanaan program yang memberi impak positif kepada masyarakat setempat, serta memperkukuh kehadiran parti di akar umbi.
“Semoga persidangan ini menjadi medan terbaik untuk memperkukuh perpaduan, memperhalusi strategi dan memperbaharui tekad perjuangan.
“Gunakan ruang ini dengan penuh hikmah, berbahas dengan matang. Berbeza pandangan itu perkara biasa, apa yang penting setiap keputusan yang dibuat adalah demi kekuatan parti, bukan kepentingan peribadi.
“Semoga segala keputusan yang diambil menjadi asas yang kukuh untuk menghadapi cabaran mendatang, demi agama, bangsa dan tanah air,” ujar beliau.
Untuk rekod, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memaklumkan bahawa Persidangan Tahunan Cawangan-Cawangan diadakan bermula 1 April hingga 17 Mei 2026 sebelum Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian akan mengambil bahagian pada 1 Jun hingga 12 Julai 2026.
Perhimpunan Agung UMNO pula akan diadakan pada 12 Ogos sehingga 16 Ogos 2026. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib
