Wanita UMNO Papar Fokus Program Kebajikan, Perpaduan Masyarakat

KUALA LUMPUR, 9 April – Ketua Wanita UMNO Bahagian Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin memaklumkan komitmen berterusan dalam melaksana program-program yang menumpukan aspek kebajikan serta kesejahteraan golongan wanita dan masyarakat.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata setiap program yang digarap menekankan kepentingan penglibatan aktif ahli wanita  dalam setiap inisiatif yang dirancang.

“Penekanan diberikan agar setiap persidangan di peringkat cawangan dapat dilaksanakan dengan lancar, teratur serta dalam suasana harmoni, selari dengan semangat perjuangan dan perpaduan yang menjadi tunjang kekuatan kita.

“Selain itu, perbincangan turut menjurus kepada perancangan program-program akan datang yang lebih berfokus kepada aspek kebajikan dan kesejahteraan ahli wanita serta komuniti setempat,” katanya.

Rosnah berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook selepas berkongsi berkenaan Mesyuarat Bulanan Wanita UMNO Bahagian Papar Bil. 4/2026.

Katanya mesyuarat tersebut memberi memfokuskan kepada persiapan dan penyelarasan Mesyuarat Perwakilan Wanita Cawangan-Cawangan yang dijadualkan berlangsung bermula 1 April hingga 17 Mei ini.

Menurut beliau usaha ini penting bagi memastikan peranan Wanita UMNO terus relevan, menyantuni rakyat serta menjadi wadah sokongan kepada mereka yang memerlukan.

“Semoga segala perancangan yang telah dibincangkan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya dan memberi manfaat yang berterusan.

“Bersama kita memperkukuh ukhwah, memperkasa peranan wanita, dan meneruskan khidmat bakti kepada masyarakat,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO