Cermin Kekukuhan Hubungan Dua Hala… Johari Terima Kunjungan Hormat Czech Republic

KUALA LUMPUR, 9 April – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani telah menerima kunjungan hormat dari Czech Repulic yang mencerminkan kekukuhan hubungan perdagangan dua hala.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, jumlah perdagangan Malaysia dan Czech Republic telah meningkat sebanyak 60.0 peratus dan ia dipacu oleh sektor elektrik dan elektronik (E&E).

“Saya telah menerima kunjungan hormat daripada TYT Juraj Koudelka, Duta Besar Czech Republic ke Malaysia.

“Ia mencerminkan hubungan dua hala yang semakin kukuh, dengan jumlah perdagangan meningkat 60.6 peratus kepada RM6.16 bilion pada tahun 2025, dipacu terutamanya oleh sektor E&E.

“Kami melihat potensi besar untuk memperluas kerjasama strategik, khususnya dalam pembuatan bernilai tinggi, teknologi termaju, transformasi digital serta penyelidikan dan pembangunan,” katanya.

Mengulas lanjut, Johari memaklumkan bahawa kemajuan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia–European Union (MEUFTA) turut dibincangkan dalam pertemuan tersebut.

“Penyelarasan antara Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan strategi inovasi Czech membuka ruang kepada kolaborasi yang lebih mendalam, termasuk dalam sektor aeroangkasa, kejuruteraan ketepatan serta automasi industri.

“Dalam masa yang sama, kami turut membincangkan kemajuan MEUFTA yang akan menjadi pemangkin penting dalam memperkukuh rantaian bekalan, meningkatkan ketelusan perdagangan dan membuka akses lebih luas kepada pasaran Eropah,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO