Operasi Pembenihan Awan Berjaya, Kerajaan Perkukuh Pendekatan Proaktif – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 8 April — Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang dilaksanakan semalam di negeri Perlis dan Kedah berjaya meningkatkan taburan hujan di kawasan tadahan empangan utama.

Operasi yang dikendalikan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia itu bermula sekitar jam 3.00 petang di Kedah sebelum diteruskan di Empangan Timah Tasoh, Perlis pada jam 3.40 petang melibatkan penggunaan pesawat C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia bagi menyembur larutan garam ke dalam awan kumulus menara.

Menurut beliau yang jug Presiden UMNO merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, keadaan atmosfera yang lembap dan tidak stabil ketika operasi berlangsung membantu meningkatkan keberkesanan proses pembenihan awan.

“Pelaksanaan OPA dalam kondisi atmosfera yang sesuai terbukti sangat efektif dalam menangani isu kekurangan air di kawasan tadahan kritikal.

“Berdasarkan data cerapan radar cuaca, aktiviti hujan mula dikesan di sekitar Empangan Timah Tasoh seawal jam 5:00 petang. Manakala di kawasan Empangan Ahning, hujan mula turun pada jam 7:30 malam dan berlarutan sehingga jam 9:00 malam.

“Secara keseluruhannya, liputan hujan telah berjaya merangkumi kawasan tadahan utama bagi semua empangan yang terlibat. Secara keseluruhannya, Operasi Pembenihan Awan pada 7 April 2026 dikategorikan sebagai berjaya,” kata beliau menerusi satu kenyatan berkaitan hal ini.

Katanya, data daripada stesen cerapan dan sistem MyRAE MET Malaysia menunjukkan taburan hujan yang signifikan:
– Perlis: Mencatatkan antara 10 mm hingga 45 mm (jam 7:00 – 8:00 malam).
– ⁠Kedah: Mencatatkan antara 6 mm hingga 57.4 mm (jam 7:00 – 10:00 malam).

Tambah beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), operasi ini merupakan langkah intervensi penting bagi menangani situasi kekurangan air akibat cuaca kering yang melanda beberapa kawasan sejak kebelakangan ini.

Ujar Ahmad Zahid, hari ini operasi berkenaan akan diteruskan dengan mensasarkan kawasan tadahan Empangan Temenggor dan Bukit Merah di Perak sebagai sebahagian usaha berterusan kerajaan untuk memastikan bekalan air negara kekal terjamin.

“Saya percaya usaha bersepadu seperti ini membuktikan bahawa kesiapsiagaan, tindakan berasaskan sains serta ikhtiar berterusan mampu menjadi benteng utama dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dan ketidaktentuan cuaca.

“Dalam masa yang sama, kita memohon agar segala usaha ini dipermudahkan oleh Allah SWT dan dikurniakan hasil yang baik untuk semua. Kerajaan akan terus memperkukuh pendekatan proaktif ini demi menjamin keselamatan bekalan air, kesejahteraan rakyat serta kelangsungan sektor pertanian negara.” – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO