‘UMNO Sabah Fokus Dekati Anak Muda, Sampaikan Aspirasi Parti’

KUALA LUMPUR, 8 April – Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Azuwan Marjan memaklumkan komitmen dalam mendekati anak muda terutama dalam menyampaikan aspirasi parti.

Beliau yang juga Pengarah Jabatan Penerangan UMNO Negeri Sabah berkata antara langkah yang dilakukan mereka adalah dengan membuka peluang anak muda dalam bidang yang diminati termasuk penyertaan dalam UMNO.

“Kita tidak mahu cerita lagi soal politik tapi apa yang diketengahkan ialah bagaimana kita hendak melahirkan pemimpin-pemimpin muda yang bakal mewarisi kepimpinan UMNO Sabah pada masa akan datang.

“Selain itu kami fokus untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda untuk menjana pendapatan.

“Kalau mungkin anak muda ini dia tidak minat hendak bekerja dengan majikan, mungkin suka kemahiran, perniagaan dan sebagainya.

“Sekarang ini saya yakin anak muda di Sabah masih ramai lagi tidak diberi pendedahan di kampung-kampung,” katanya pada sesi temubual #HitamPutihKelabu UMNO 8 Dekad: Perjuangan Sabah Dalam Sejarah Parti yang disiarkan di Facebook UMNO Online.

Sementara itu beliau turut sama menyentuh berkenaan survival politik UMNO yang menurutnya ketika ini berada pada fasa kebangkitan.

Katanya ini kerana UMNO adalah satu-satunya parti nasional yang stabil pada ketika ini berbanding parti-parti lain, malah pemimpin UMNO yang berkhidmat dalam kerajaan memainkan peranan penting dalam membina keyakinan rakyat.

“Memang UMNO ini seringkali dimomokkan dengan fitnah dan sebagainya namun saya melihat UMNO hari ini berada dalam fasa kebangkitan malah UMNO satu-satunya parti nasional yang stabil pada ketika ini berbanding parti yang lain.

“Saya percaya pemimpin UMNO yang berada dalam kerajaan berkhidmat dengan baik sekali dan ini salah satu yang membantu, rakyat sekarang semakin muak dengan politik, perut rakyat ini lapar perlu diisi itu yang lebih penting. Saya lihat ini kelebihan kepada UMNO yang perlu diteruskan, bagaimana pemimpin UMNO menyelesaikan masalah.

“Ini yang lebih penting sekarang walaupun sekarang dengan adanya kecerdasan buatan (AI) kita juga kena lawan balik tunjuk kita buat kerja dengan turun padang bantu rakyat,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO