UMNO Ke-80: Terus Jadi Tunjang Harapan Rakyat, Bawa Perjuangan Keramat
KUALA LUMPUR, 8 April – Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Azuwan Marjan menyifatkan UMNO bukan sekadar sebuah parti politik, sebaliknya merupakan wadah perjuangan yang lahir atas dasar memerdekakan negara.
Beliau yang juga Pengarah Jabatan Penerangan UMNO Negeri Sabah berkata prinsip perjuangan parti ini harus difahami yang merupakan tunjang kepada keberadaan UMNO.
“UMNO adalah sebuah perjuangan bukan lahir di tepi jalan, di tepi longkang, bukan lahir atas dasar dendam, kemaruk kuasa dan sebagainya tapi UMNO lahir atas dasar memerdekakan negara kita ini.
“Itu adalah perjuangan yang asal UMNO itu. Sebab itu kenapa UMNO ini adalah sebuah parti yang keramat,” katanya pada sesi temubual #HitamPutihKelabu UMNO 8 Dekad: Perjuangan Sabah Dalam Sejarah Parti yang disiarkan di Facebook UMNO Online
Katanya, perkara tersebut terbukti apabila UMNO juga sering digelar sebagai parti kebajikan kerana tidak pernah lari daripada tanggungjawab untuk membantu rakyat tanpa mengira keadaan.
“Saya mengharapkan agar kita sebagai ahli UMNO untuk terus memperjuangkan agenda parti dan juga agenda rakyat.
“Sebab itu UMNO ini digelar parti kebajikan kerana UMNO tidak lari daripada sikap keprihatinan untuk membantu orang.
“Kita tidak sanggup hendak kata tidak mahu bantu. Inilah UMNO,” ujar beliau
Dalam pada itu, Azuwan menegaskan perjuangan parti perlu diteruskan kerana rakyat pada masa kini mengharapkan kebangkitan semula UMNO untuk kembali menerajui pemerintahan negara.
“Perjuangan UMNO perlu kita teruskan kerana rakyat di sana mengharapkan UMNO kembali semula, bangkit untuk menerajui pemerintahan kerajaan.
“Sebenarnya, rakyat di bawah sana menunggu masa yang sesuai tetapi masih lagi kurang yakin… oleh itu tugas kita memberi keyakinan kepada rakyat di luar sana bahawa UMNO parti yang terbaik yang boleh memajukan negeri Sabah dan negara,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nurul Saadah Latib
