UMNO Tolak Dakwaan Punca Perpecahan Melayu, Kenyataan Tun M Naratif Lama
KUALA LUMPUR, 8 April — Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii menegaskan bahawa kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang terus menyalahkan UMNO sebagai punca perpecahan orang Melayu hanyalah pengulangan naratif lama.
Menurut beliau, realiti sejarah politik menunjukkan bahawa setiap episod besar perpecahan Melayu tidak dapat dipisahkan daripada peranan dan tindakan Tun Dr Mahathir sendiri, termasuk tindakan keluar parti dan menubuhkan parti baharu yang mencetuskan pertembungan dalam kalangan orang Melayu.
“Ini bukan lagi persepsi, tetapi fakta politik yang diingati oleh ahli-ahli UMNO,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Razlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh turut mempersoalkan peranan Tun Dr Mahathir yang pernah menerajui UMNO selama lebih dua dekad.
“Beliau pernah menerajui UMNO selama lebih dua dekad. Maka persoalannya mudah; jika hari ini UMNO dikatakan rosak, siapa yang membentuk asas budaya, struktur dan acuan kepimpinan parti sepanjang tempoh tersebut?
“Kekuatan beliau sebagai Perdana Menteri ketika itu bukan berdiri atas kehebatan individu semata-mata tetapi lahir daripada dukungan akar umbi dan sokongan padu orang Melayu yang mengangkat dan mengekalkan beliau ke puncak kuasa, bukan parti lawan ketika itu. Tetapi hari ini, platform yang sama cuba digambarkan sebagai punca segala kelemahan.”
Dalam pada itu, beliau menyifatkan tindakan menubuhkan parti baharu sebagai satu kontradiksi terhadap usaha menyatukan orang Melayu, kerana langkah tersebut telah memecahkan sokongan kepada beberapa blok yang saling bersaing.

“Jika benar niatnya untuk menyatukan orang Melayu, tindakan menubuhkan parti baharu yang secara langsung bersaing dengan UMNO adalah satu kontradiksi yang sukar dipertahankan. Alasan ‘alternatif’ tidak boleh menutup realiti bahawa langkah itu telah memecahkan sokongan Melayu kepada beberapa blok yang saling bertembung.
“Lebih ironi, beliau sendiri mengakui usaha menjadikan Bersatu sebagai pengganti UMNO telah pun gagal. Namun dalam masa yang sama, beban perpecahan terus dilemparkan kepada pihak lain, seolah-olah beliau tidak pernah menjadi sebahagian daripada punca itu sendiri,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa UMNO bukan milik individu, sebaliknya merupakan warisan perjuangan orang Melayu sejak era penentangan terhadap Malayan Union, serta memainkan peranan dalam pembangunan negara melalui pelbagai institusi seperti MARA, FELDA dan Tabung Haji.
Mengulas lanjut, Razlan berkata tuduhan bahawa ahli UMNO menjadi punca perpecahan kerana tidak mengikut kehendak individu tertentu adalah tidak berasas dan mencerminkan kegagalan memahami prinsip demokrasi.
“Dalam politik, perbezaan pandangan adalah perkara biasa. Tetapi apabila kesetiaan dianggap sebagai kesalahan, ia bukan lagi soal prinsip, sebaliknya soal ego.
“Lebih kronik lagi, pihak yang selama ini melaungkan demokrasi dan kebebasan memilih, kini seolah-olah hanya mengiktiraf demokrasi jika keputusan memihak kepada dirinya. Kalau tidak, terus dilabel sebagai punca perpecahan.”
Beliau turut mempersoalkan sama ada perjuangan yang dibawa benar-benar untuk rakyat atau sekadar untuk memastikan semua pihak bersetuju tanpa bantahan.
“Kalau kesetiaan dianggap dosa, maka mungkin yang bermasalah bukan ahli tetapi definisi demokrasi itu sendiri yang sudah diputar belit mengikut selera,” tegasnya lagi. – UMNO Online
