Ahmad Zahid Kenang Jasa Tun Dr Ling Liong Sik, Sifatkan Sebagai Mentor Politik

KUALA LUMPUR, 8 April – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berbesar hati memberikan penghormatan terakhir kepada tokoh negara, mendiang Tun Dr Ling Liong Sik yang meninggal dunia pada Sabtu lalu.

Beliau yang juga Presiden UMNO menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada negara yang turut dirasai seluruh rakyat.

“Selesai menyempurnakan tugasan rasmi di Putrajaya, saya terus melangkah ke Kuala Lumpur bagi memberikan penghormatan terakhir kepada seorang tokoh yang telah banyak berjasa kepada negara, mendiang Tun Dr Ling Liong Sik.

“Saya sempat bertemu ahli keluarga mendiang dan menyampaikan ucapan takziah secara langsung kepada mereka.

“Kehilangan ini bukan sahaja dirasai oleh keluarga, malah turut dirasai oleh rakyat seluruh negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Pengerusi Barisan Nasional itu juga turut sama meluahkan penghargaan terhadap jasa dan sumbangan besar mendiang sepanjang hayatnya.

Menurut beliau lagi, mendiang juga antara mentor di luar UMNO dan banyak perkara dipelajari daripada perjalanan perjuangan termasuk hubungan antara UMNO, MCA dan MIC yang dibina atas semangat seperti sebuah keluarga.

“Nilai kebersamaan dan muafakat itulah yang saya bawa hingga ke hari ini dan menjadi asas kepada usaha kita untuk terus memelihara perpaduan dalam Barisan Nasional.

“Jasa dan sumbangan beliau akan terus dikenang, merentasi masa dan generasi. Pemergiannya hari ini pasti dirasai, bukan hanya dalam MCA dan Barisan Nasional, tetapi dalam sejarah perjalanan negara.

“Kepada seluruh ahli keluarga, saya doakan sekali lagi agar diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat yang penuh dukacita ini,” ujar beliau.

Untuk rekod Dr Ling meninggal dunia pada usia 82 tahun, meninggalkan isteri Toh Puan Ong Ee Nah serta dua anak lelaki, Ling Hee Leong dan Ling Hee Keat.

Bekas Presiden MCA itu antara anggota Kabinet paling lama berkhidmat ketika menerajui Kementerian Pengangkutan selama 17 tahun dari 1986 sehingga peletakan jawatan beliau pada 2003. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO