Malaysia Mampu Jadi Rakan Strategik Utama Pelaburan Mampan
KUALA LUMPUR, 7 April – Malaysia mampu menjadi rakan strategik utama untuk pelaburan mampan dan pertumbuhan jangka panjang, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Johari yang juga Naib Presiden UMNO menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan beliau telah menghadiri majlis makan malam bersama komuniti perniagaan Belgium-Luxembourg melalui BeluxCham Malaysia pada Isnin.

“Saya telah menghadiri majlis makan malam bersama komuniti perniagaan Belgium-Luxembourg melalui BeluxCham Malaysia, satu platform penting untuk memperkukuh hubungan ekonomi Malaysia–Kesatuan Eropah dan meneroka peluang kerjasama baharu berimpak tinggi.
“Kami berkongsi perkembangan terkini rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia–EU (MEUFTA) yang kini menunjukkan kemajuan positif, di samping menegaskan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama.
“Ia disokong oleh prestasi pelaburan tertinggi negara, kepimpinan dalam ekonomi digital, dan keupayaan logistik serta rantaian bekalan yang kukuh,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata terdapat potensi besar dalam kerjasama bersama syarikat Eropah dalam pelbagai bidang.
“Kami melihat potensi besar kerjasama dengan syarikat Eropah khususnya dalam sektor semikonduktor dan elektrik dan elektronik (E&E), peralihan tenaga hijau, serta pembuatan maju.
“Dengan dasar yang selari, ekosistem yang berdaya saing, dan pendekatan ‘whole-of-government’, kami yakin Malaysia mampu menjadi rakan strategik utama bagi pelaburan mampan serta pertumbuhan jangka panjang,” katanya lagi. – UMNO Online
