UMNO 80 Tahun: ‘Angkat Pemimpin Yang Jujur, Ikhlas Dalam Perjuangan’

KUALA LUMPUR, 8 April – Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata pemimpin memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju dengan mengutamakan kepentingan rakyat berbanding kepentingan peribadi

Beliau menyifatkan keikhlasan dalam perjuangan merupakan aspek penting bagi memastikan organisasi berada di landasan yang betul.

“Mesti diuji keikhlasan, perjuangan itu diasaskan atas apa? Kepentingan diri, keluarga ataupun yang ada kaitan dengan dia ataupun kepentingan untuk masyarakat umum. Selamat atau tak selamat pimpinan dia untuk menjaga kedaulatan negara, keselamatan negara keseluruhnya.

“Jadi kalau kita tak boleh percaya kepada kepimpinan, macam mana kita nak percaya kepada dia? Jadi sebab itulah saya rasa bukan mudah nak cari pemimpin.

“Belum sampai ke peringkat ujian pertama sudah hendak lompat naik ke tangga 10, ke-12 dan sebagainya. Dia belum dapat pendedahan yang sepatutnya dalam ujian hendak tahu sama ada dia ni pemimpin yang baik, boleh bertahan atau tidak untuk mengawal dan menjaga rakyat.

“Kalau satu, dua langkah maka kita terima dia dan fikir dia layak, saya rasa sudah buat kesilapan yang besar,” katanya ketika ditemui UMNO Online pada wawancara khas ‘Iktibar Perjalanan 80 Tahun UMNO’ di kediamannya baru-baru ini.

Tengku Razaleigh menegaskan bahawa pemimpin tidak seharusnya dinilai semata-mata berdasarkan populariti atau imej mereka, sebaliknya kemampuan memajukan negara harus menjadi ukuran utama.

Katanya lagi, jawatan Perdana Menteri hanyalah alat untuk melaksanakan tanggungjawab, bukan untuk bermegah-megah kerana sanjungan orang ramai.

“Saya hendak tunjukkan perbezaan jangan fikir kita ini gagah maka semua orang menganggap kita gagah, sebenarnya tidak.

“Banyak sifat yang kena nilai dan fikir kita angkat orang bukan hendak jadi Perdana Menteri tapi hendak tengok negara ini jadi maju.

“Bukan soal siapa yang jadi Perdana Menteri tapi dia alat sahaja bukan untuk dia bermegah-megah kerana dia popular dan disanjung orang… itu hanya untuk sementara waktu,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO