Pendidikan Tunjang Perpaduan, Saiful Yazan Puji Inisiatif Sekolah Anjur Sambutan Raya

KUALA LUMPUR, 8 April – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Datuk Saiful Yazan Sulaiman menegaskan bahawa pendidikan merupakan tunjang utama dalam pembangunan negara dan masyarakat, sekali gus menjadi asas penting dalam melahirkan generasi berilmu serta berdaya saing. Menurutnya, tanpa asas pendidikan yang kukuh, adalah sukar untuk membentuk masyarakat yang mampu menghadapi cabaran masa depan dengan lebih kompetitif dan berdaya tahan.

“Apa yang lebih membanggakan, walaupun Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lang Yee Pei merupakan sekolah aliran Cina, pihak sekolah tetap komited menganjurkan sambutan pelbagai perayaan termasuk Hari Raya Aidilfitri.

“Ini jelas mencerminkan semangat perpaduan, toleransi dan saling menghormati antara kaum yang semakin utuh dalam kalangan generasi muda.

“Tanpa asas pendidikan yang kukuh, sukar untuk melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing. Justeru, semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum perlu terus memberi perhatian serta melabur dalam pendidikan demi masa depan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dianjurkan bersekali dengan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lang Yee Pei, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Saiful Yazan berharap agar semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum terus memberi perhatian serta melabur dalam bidang pendidikan demi masa depan negara yang lebih gemilang.

“Semoga inisiatif seperti ini akan terus menjadi contoh terbaik dalam menyemai semangat perpaduan serta memperkasakan pendidikan di Malaysia.

“Usaha ini bukan sahaja menceriakan suasana, malah memperkukuh hubungan mesra antara pemimpin dan komuniti setempat,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO